WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

KEPAK AYAM DARI SUMBER SAH SELAMAT DIMAKAN

Kepak ayam yang dikeluarkan di dalam negara atau diimport dari sumber yang sah adalah selamat untuk dimakan


Back To Whats Hot

KUCHING - Kepak ayam yang dikeluarkan di dalam negara atau diimport dari sumber yang sah adalah selamat untuk dimakan.

Ketika memberi jaminan itu hari ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak membenarkan pengimportan produk ayam itik dari pusat sembelihan di luar negara yang telah diperiksa dan diaudit oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Beliau memberi jaminan itu berhubung kebimbangan orang ramai untuk memakan kepak ayam susulan insiden di Sibu baru-baru ini apabila tiga kontena mengandungi kira-kira 4.5 tan kepak ayam ditanam pada 30 dan 31 Mac di lot  kosong di Jalan Teluk Engkalat off Jalan Aup.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, kepak ayam itu kemudiannya digali oleh beratus-ratus penduduk setempat yang turut menjualnya selain untuk kegunaan sendiri.

Gambar dan klip video insiden itu menjadi tular di media sosial yang menimbulkan kebimbangan penduduk sejak beberapa hari lepas.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata kementeriannya tidak dimaklumkan sebelum kerja pelupusan itu oleh pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dari Putra Jaya.

"Apabila disemak dengan pihak berkuasa Veterinar negeri, tiada sebarang import veterinar yang dikeluarkan dan sehubungan itu, pengimportan itu dianggap sebagai tidak sah.

"Siasatan lanjut mendapati kepak ayam itu adalah dari Belanda dan bukan New Zealand seperti dilaporkan akhbar tempatan," katanya.

Beliau berkata pengimportan produk ayam dari Belanda digantung pada 8 Disember 2016 berikutan wabak Selesema Burung (H5N1).

"Pelupusannya terletak di bawah bidang kuasa KDRM. Pengimportnya sedang disiasat oleh Cawangan Siasatan Frod Perdagangan untuk tindakan lanjut," katanya.

Uggah berkata semua pengimport yang berhasrat mengimport ternakan dan produk ternakan perlu terlebih dahulu mendapatkan pandangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk memohon permit yang diperlukan.

Beliau berkata ini berikutan kebimbangan berhubung keadaan penyakit itu di negara pengeksport yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.

"Hukuman bagi pengimportan tanpa permit amat berat dan pesalah yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga maksimum RM50,000, dan atau, penjara tidak lebih dari dua tahun.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Sibu hari ini, pemangku Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Sarawak) Ahmad Zainudin Drahman berkata kepak ayam itu bernilai RM543,756 dengan duti import berjumlah RM108,751.20.

Beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk menanam semula baki kepak ayam itu di tapak pelupusan sampah di Kemuyang.

- Bernama