WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

GUNUNG RUANG MELETUS, INDONESIA KELUARKAN AMARAN TSUNAMI

Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran tsunami selepas sebuah gunung berapi di wilayah Sulawesi Utara meletus


Back To Whats Hot

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran tsunami selepas sebuah gunung berapi di wilayah Sulawesi Utara meletus dan menghamburkan abu setinggi lebih 1 kilometer ke udara dalam bencana yang memaksa beratus-ratus penduduk berpindah, lapor akhbar The Guardian semalam.

Menurut agensi vulkanologi Indonesia, Gunung Ruang meletus buat kali pertama pukul 9.45 malam (waktu tempatan) kelmarin disusuli empat letusan lain semalam.

Beberapa pegawai berkata, mereka bimbang sebahagian daripada gunung berapi itu mungkin runtuh ke dalam laut dan menyebabkan tsunami seperti yang berlaku pada 1871. 

Pulau Tagulandang di perairan timur laut Gunung Ruang sekali lagi berdepan risiko dilanda tsunami, memaksa penduduknya berpindah.

Tahap amaran untuk gunung berapi itu setinggi 725 meter di atas paras laut itu ditingkatkan daripada tiga kepada empat semalam sekali gus tertinggi dalam sistem amaran bencana empat peringkat.

“Berdasarkan pemerhatian visual dan bacaan yang menunjukkan peningkatan dalam aktiviti gunung berapi, paras amaran Gunung Ruang dinaikkan daripada tahap tiga kepada tahap empat,” kata Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Hendra Gunawan dalam satu kenyataan.

Tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan setakat semalam.

Bagaimanapun, lebih 800 orang dari dua perkampungan di Pulau Ruang telah dipindahkan ke lokasi berhampiran, Pulau Tagulandang yang terletak lebih 1.6 kilometer ke utara ibu kota wilayah Sulawesi Utara, Manado.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini