WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

SUDAH PUTUS, SUFIAN SUHAIMI SAHKAN TAK JADI KAHWINI BAKAL PEGUAM

Penyanyi Sufian Suhaimi masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas kekasih meski tidak jadi berkahwin


Back To Whats Hot

SHAH ALAM - Impian penyanyi Sufian Suhaimi untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi tidak kesampaian apabila hubungannya dengan wanita dikenali sebagai Rania Al Sadat terlerai pada minggu kedua Ramadan baru-baru ini.

Menurut Sufian, 32, cincin risik kedua belah pihak sudah dipulangkan pada minggu kedua Ramadan, selain menegaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik sehingga hari ini.

“Hubungan kami masih baik cuma hubungan ‘merisik’ itu sudah tiada. Cincin risik sudah dipulangkan pada minggu kedua Ramadan.

“Masing-masing menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka tanpa ada rasa dendam. Hakikatnya selepas keputusan tersebut dibuat, kami masih berjumpa dan berbual.

“Lepas pulangkan cincin, kami pilih untuk saling menghormati ruang masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis buka puasa Rusa Music dan MVM di sini, semalam.

Pelantun lagu Di Matamu itu juga tidak menolak bahawa perpisahan tersebut berlaku atas sebab tidak sehaluan selepas membincangkan banyak perkara termasuk perihal kehidupan.

“Ini adalah keputusan bersama, tiada sebarang pergaduhan mahupun sebab orang ketiga.

“Kalau nak diikutkan, kami merancang untuk nikah pada tahun lepas. Banyak yang kami bincangkan termasuk pernikahan bukan satu perkara yang perlu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Apabila semakin dekat dengan tarikh (nikah), kami saling berbincang tentang kehidupan. Ada perkara dia nak, saya tak okey dan sebaliknya.

“Hasil perbincangan itu, kami memilih untuk mengambil satu langkah ke belakang sebab tak mahu berada dalam hubungan yang boleh dikatakan tak sehaluan,” ujarnya.

Dia bagaimanapun menegaskan keputusan untuk mendirikan rumah tangga sebelum ini bukan diambil dalam keadaan terdesak untuk menamatkan zaman bujang.

Suhaimi bahkan bersyukur fasa merisik memberikannya peluang mengenali hati budi wanita itu dengan lebih mendalam sebelum masuk ke peringkat seterusnya.

“Saya rasa inilah hikmah adat merisik tersebut ialah berpeluang mengenali hati budi. Saya bersyukur dapat kenal dia, termasuk keluarganya dan tiada satu rasa penyesalan pun.

“Walaupun sudah berpisah, kami juga berharap dan berdoa masing-masing menemui kebahagiaan. Jodoh di tangan Tuhan, mungkin kami akan bahagia bersama pada masa depan, siapa tahu?” kongsinya.

Sumber: Kosmo Online!
Oleh NUR EMIRA SAIZALI
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini