WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: TENTERA REJIM ZIONIS MULA BERUNDUR DARI GAZA

Konvoi kereta kebal berhenti selepas berundur dari Gaza di sempadan Israel kelmarin - Sumber Foto AFP


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Divisyen tentera Israel yang melancarkan serangan darat pada 7 Oktober tahun lalu mula berundur dari Semenanjung Gaza, lapor portal berita The Palestine Chronicle kelmarin.

Pengunduran Divisyen Ke-36 itu berlaku pada hari ke-101 perang dahsyat yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin di Gaza. Sebuah divisyen biasanya mempunyai kekuatan antara 10,000 hingga 15,000 askar.

Menurut Radio Tentera Israel, tiga lagi divisyen tentera Israel yang terlibat dalam perang tersebut akan kekal di Gaza buat masa ini untuk meneruskan serangan.

Situasi itu menyaksikan divisyen askar Israel masih berperang di beberapa tempat di selatan Semenanjung Gaza termasuk Divisyen Ke-99, Divisyen Ke-162 dan Divisyen Ke-7.

Divisyen Ke-36 yang berundur kelmarin melibatkan Briged Golani, Briged Ke-6, Ke-7 dan Brigade 188 serta Kor Kejuruteraan tentera Israel.

Beberapa penganalisis berkata, pengunduran Divisyen Ke-36 itu merupakan sebahagian daripada langkah pengunduran besar-besaran tentera Rejim Zionis dari Gaza yang akan dilakukan secara berperingkat.

Pengunduran secara beransur-ansur itu antara lain kata mereka, adalah untuk tidak menunjukkan perang telah berakhir atau tentera Israel gagal mencapai objektif utamanya iaitu menghapuskan kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza.

Ini bukan kali pertama Israel melakukan pengunduran askar secara besar-besaran di Semenanjung Gaza.

Pada 31 Disember tahun lalu, beribu-ribu askar simpanan Israel diarahkan berundur dari medan perang.

Batalion Ke-13 Briged Golani juga berundur dari Shejaiya, Semenanjung Gaza pada 21 Disember tahun lalu selepas mengalami kekalahan besar ketika bertempur dengan pejuang Palestin.

Menurut portal berita Middle East Monitor, setakat ini, lebih 24,000 penduduk Palestin terbunuh dalam perang tentera Israel dan Hamas.

Lebih 60,000 penduduk lain cedera, manakala lebih 7,000 orang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang dibom oleh jet-jet tentera Israel.

Perang terbaru itu menyebabkan 85 peratus penduduk Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal dan mengalami masalah kekurangan makanan, air bersih dan bekalan perubatan.

Sebanyak 60 peratus daripada bangunan dan infrastuktur lain di Semenanjung Gaza, sama ada rosak atau musnah akibat perang, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sumber: Kosmo Online!
Oleh WAN AZHAR WAN ABDULLAH
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini