WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: REJIM ZIONIS KURUNG PENDUDUK TEBING BARAT

Sebuah pintu besi dipasang tentera Israel di laluan masuk bandar Birzeit, baru-baru ini - Sumber Foto MEE


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Israel mening­katkan pemasangan pagar dan palang besi di laluan masuk ke kampung dan bandar di wilayah Tebing Barat bagi menghalang pergerakan penduduk Palestin, lapor portal berita Middle East Eye kelmarin.

Rejim Zionis mula memasang palang itu di laluan masuk sebilangan kampung dan bandar semasa intifada atau kebangkitan penduduk Palestin menentang tentera Israel pada 2000.

Bagaimanapun, langkah itu meningkat dua kali ganda sebagai hukuman kolektif terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat sejak tentera Rejim Zionis berperang menentang Hamas pada 7 Oktober 2023.

Selepas perang ke atas Gaza bermula, penduduk Palestin menyaksikan pemasangan pagar dan palang besi meningkat mendadak. Sebanyak 28 pintu besi itu dipasang dalam masa cuma sehari di kampung-kampung dekat bandar Ramallah.

Rejim Zionis menutup pintu-pintu pagar itu selama berhari-hari, malah kadang kala menjangkau tempoh beberapa bulan sekali gus menyebabkan penduduk Palestin terkurung.

Langkah itu mengehadkan pergerakan penduduk Palestin sehingga memaksa mereka mencari laluan alternatif seperti jalan tanah berbonggol-bonggol atau belukar.

Penggunaan laluan alternatif itu menyebabkan penduduk Palestin terpaksa memandu selama berjam-jam untuk tiba di destinasi yang tidak begitu jauh.

Seorang pemandu teksi, Mohammed Rajab, 30, memberitahu, tentera Israel memasang dua pintu besi di laluan masuk ke bandar Birzeit, utara Ramallah seminggu lalu.

Langkah itu menyekat pergerakan penduduk dari utara Tebing barat ke bandar Ramallah yang menjadi pusat pentadbiran dan menempatkan bangunan kerajaan Palestin di samping menjadi lokasi majlis awam diadakan.

Menurut Rajab, penutupan pintu besi itu akan menghalang puluhan ribu penduduk Palestin daripada bergerak bebas dan tiba di tempat kerja serta sekolah.

“Kami terpaksa menunggu tidak kurang lima jam pada setiap hari sebelum pintu itu dibuka. Jika dibuka, askar Israel mendirikan pos pemeriksaan dan mengehadkan pergerakan kenderaan.

“Kami cuba untuk menggunakan laluan lain tetapi ia tidak berbaloi,” ujarnya.

Kata pemandu teksi tersebut, pagar dan pintu besi merupakan satu penghinaan kerana tiada alasan keselamatan untuk Rejim Zionis berbuat demikian dan menghukum puluhan ribu penduduk Palestin.

Pada Ahad lalu, tentera Israel menutup laluan ke bandar Birzeit dengan alasan berlaku kejadian tembakan di utara Ramallah.

Beberapa jam kemudian, terdapat pengumuman bahawa pelaku kejadian itu sudah ditangkap tetapi pintu pagar tersebut terus ditutup.

Berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Gunaan - Baitulmuqaddis, sebanyak 567 pos pemeriksaan dalam pelbagai bentuk didirikan oleh Israel di serata Tebing Barat setakat 6 Oktober lalu.

Ia turut meliputi 77 pos pemeriksaan utama dan 490 pos pemeriksaan lain yang turut melibatkan antaranya palang besi dan tembok simen.

Seorang pelajar, Mohammed Shawabkeh, 20, yang belajar di Universiti Politeknik, Hebron tetapi tinggal di kem pelarian al-Fawwar berkata, dia terpaksa menggunakan jalan sempit dengan berjalan kaki untuk tiba di bandar Dura dari Hebron.

Ia mengambil berjam-jam untuk tiba di universiti berkenaan berbanding laluan biasa yang mengambil masa cuma 30 minit.

Israel menutup palang besi yang menjadi laluan masuk dan keluar dari kem pelarian tersebut sekali gus menghalang penduduk bergerak secara bebas selama tiga bulan.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini