WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

SARANAN ROSYAM NOR MERENDAHKAN MARTABAT WANITA - MENTERI

Nancy Shukri berkata, wanita berhak menerima pengiktirafan dan layanan yang lebih baik daripada menjadi ‘alat’ dalam menyelesaikan masalah sosial


Back To Whats Hot

PETALING JAYA - Saranan Datuk Rosyam Nor menyokong kewujudan pusat pelacuran di negara ini disifatkan sebagai tindakan yang merendah-rendahkan martabat wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, wanita berhak menerima pengiktirafan dan layanan yang lebih baik daripada menjadi ‘alat’ dalam menyelesaikan masalah sosial.

“Kesedaran dan publisiti yang positif terhadap hak serta sistem sokongan kepada wanita perlu ditanam serta disebarkan kepada umum.

“Cadangan atau gurauan sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normalisasi apatah lagi secara terangan bercanggah daripada undang-undang, prinsip, nilai kekeluargaan, budaya dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57,  berkata, pusat pelacuran perlu ada bagi mengurangkan kes jenayah seperti rogol dan gangguan seksual membabitkan warga asing.

Aktor, penerbit dan ahli perniagaan itu meluahkan pandangannya dalam sesi podcast Hitam Putih Kehidupan yang tular dalam aplikasi TikTok sejak Sabtu lalu.

Begitupun, Rosyam yang terkejut perbincangannya tular sehingga meraih perhatian ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sudah memohon maaf.

Dalam pada itu, Nancy menegaskan pihaknya juga akan sentiasa memberikan fokus terhadap usaha-usaha memperkasakan wanita.

Katanya, ini termasuk mempelbagaikan program bagi meningkatkan pembabitan dan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang serta menjadi agen pembangunan negara.

“Kerajaan menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan golongan terbabit mempunyai peluang yang adil serta memiliki kerjaya lebih baik.

“Kami juga mempunyai sifar toleransi dalam apa jua bentuk keganasan terhadap wanita sama ada secara fizikal, seksual, emosi, mahupun psikologi.

“Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat yang berilmu dan bertamadun. Kita perlu bertindak untuk menunjukkan contoh yang terpuji kepada generasi akan datang,” ujarnya. 

Sumber: Kosmo Online!
Oleh HANISAH SELAMAT
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini