WHAT'S NEXT

CATS XPOSED - ETHNIC

02.00pm - 04.00pm

MUDAH RASA LETIH, BAHAGIAN ATAS KANAN PERUT PULA TAK SELESA... AWAS!

Hati adalah organ terbesar dalam badan manusia yang membantu tubuh mencerna makanan, menapis racun dan toksik serta menyimpan tenaga


Back To Whats Hot

HATI adalah organ terbesar dalam badan manusia yang membantu tubuh mencerna makanan, menapis racun dan toksik serta menyimpan tenaga.

Bagaimanapun, 24 peratus populasi penduduk dunia mengalami masalah hati berlemak yang disebabkan lemak terkumpul dalam hati.

Punca penyakit hati berlemak kebiasaannya disebabkan tabiat pengambilan alkohol yang boleh merosakkan sel hati, mengakibatkan keradangan dan melemahkan sistem pertahanan semula jadi tubuh manusia.

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sheikh Anwar Abdullah bagaimanapun berkata, penyakit ini bukan lagi sinonim dalam kalangan mereka yang minum alkohol sebaliknya peningkatan mendadak melibatkan bukan peminum alkohol juga semakin biasa.

"Bagi punca bukan alkohol ia dikenali sebagai steatohepatitis di mana pesakit mengalami keradangan dan kerosakan sel hati yang boleh menyebabkan ia bertukar menjadi fibrosis atau parut dalam hati.

"Jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan sirosis atau kanser hati," katanya kepada mStar.

Ketahui punca, risiko dan gejala hati berlemak

Dr Sheikh Anwar berkata, punca berlakunya hati berlemak tanpa alkohol tidak diketahui namun faktor gaya hidup, obesiti serta penyakit sedia ada seperti diabetes dan tekanan darah tinggi boleh meningkatkan risiko kepada masalah itu.

Malaysia sendiri katanya, memegang gelaran negara yang mempunyai kadar obesiti dan berat badan berlebihan yang paling tinggi di rantau Asia yang dihuni 60 peratus penduduk di dunia.

"Hampir 12 daripada 40 peratus yang mengalami masalah hati berlemak akan mengalami keradangan dalam tempoh lapan ke 13 tahun manakala 15 peratus daripadanya akan menjadi sirosis.

"Bagi yang sudah mencapai tahap fibrosis pula, 25 peratus daripadanya akan menjadi sirosis manakala tujuh peratus daripadanya akan bertukar menjadi kanser dalam tempoh hanya 10 tahun.

"Lebih membimbangkan, 50 peratus lagi akan meninggal dunia disebabkan masalah hati yang sudah terlewat ketika mendapatkan rawatan," jelasnya.

Bercakap mengenai risiko hati berlemak, Dr Sheikh Anwar menjelaskan selain obesiti, ia juga boleh disebabkan diabetes jenis dua, masalah kolesterol, sindrom metabolik, genetik, tahap lemak yang tinggi dalam darah seperti kolesterol dan trigliserida serta terdedah kepada toksin.

Jelasnya lagi, sehingga kini tiada rawatan khusus untuk penyakit hati berlemak sebaliknya kombinasi diet seimbang, senaman dan menurunkan berat badan ideal adalah jalan terbaik.

"Kalau seseorang itu mengalami masalah kegemukan, kena kurangkan berat badan sekurang-kurangnya 15 peratus. Amalkan diet rendah kalori dan juga rendah karbohidrat.

"Digalakkan untuk mengamalkan senaman selama 150 minit, lima kali seminggu. Jika semua kaedah tidak berjaya, pembedahan bariatrik adalah disarankan untuk memudahkan proses penurunan berat badan," katanya.



Rasa tidak selesa di bahagian atas sebelah kanan perut antara gejala biasa hati berlemak.

Hati berlemak kebiasaaannya kata Dr Sheikh Anwar bertindak secara senyap dengan beberapa gejala atau tanpa gejala.

Gejala paling biasa adalah mudah rasa letih dan tidak berasa selesa di bahagian atas sebelah kanan perut.

Bagi mengesan penyakit hati berlemak, kebiasaannya doktor akan bertanya mengenai sejarah perubatan selain melakukan pemeriksaan fizikal termasuk ujian darah.

Sirosis boleh jadi kanser hati

Pakar Hepatobiliari dan Pembedahan Pankreas, Pusat Perubatan Sunway, Dr Hairol Azrin Othman berkata, secara umumnya, pesakit hati berlemak tidak perlu menjalani pembedahan melainkan sirosis tersebut sudah berubah menjadi kanser hati.

Pembedahan katanya adalah jalan terbaik bagi kanser hati untuk membuang tumor yang boleh merebak ke kawasan lain dalam badan.

"Tumor ini seperti parasit dalam hati kita, kalau tidak dibuang, ia akan membesar dan merebak. Jika kanser hati dapat dikesan awal pada peringkat pertama dan kedua, pembedahan adalah cara rawatan terbaik.

“Rawatan terbaik untuk kanser hati adalah pembedahan. Ia bertujuan untuk menyembuhkan tetapi jika pembedahan tidak dapat dilakukan (kerana keadaan pesakit), pilihan terbaik adalah rawatan frekuensi radio ablasi atau kemoterapi embolasi," katanya.

Katanya, sekiranya kanser hati itu dikesan pada peringkat akhir, pembedahan tidak dapat dilakukan kerana kebiasaannya tumor itu sudah menjadi terlalu besar.

Selain pembedahan, Dr Hairol Azrin memberitahu, rawatan pesakit kanser hati juga bergantung kepada saiz dan lokasi tumor tersebut, misalnya jika saiz tumor masih kecil dan berada pada permukaan hati, kebiasaannya pembedahan adalah jalan terbaik.

"Kalau saiz tumor sudah melebihi empat sentimeter dan berada dalam pusat hati, kita akan lakukan rawatan menggunakan ablasi radiofrekuensi.

"Doktor akan menggunakan jarum halus yang disambungkan pada mesin untuk membunuh sel kanser itu dengan haba," katanya.



Perbandingan hati yang sihat dan yang telah berubah menjadi kanser hati.

Bagaimanapun kata Dr Hairol Azrin, jika tumor itu lebih besar, ablasi radiofrekuensi tidak boleh digunakan tetapi menggunakan kaedah embolasi kemoterapi.

Bahagian hati yang rosak iaitu 60 peratus akan dibuang atau menjalani pembedahan pemindahan hati jika kebanyakan organ itu sudah rosak dan tidak dapat dipulihkan.

"Untuk menjalani pemindahan hati, pesakit perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu termasuk kriteria Milan iaitu tidak boleh lebih daripada tiga ketumbuhan dan setiap satunya tidak melebihi tiga sentimeter.

"Atau pun satu ketumbuhan itu tidak boleh membesar lebih daripada lima sentimeter. Terdapat dua jenis pemindahan hati iaitu penderma organ semasa hidup atau penderma organ kadaverik," jelasnya.

Pembunuh senyap!

Kanser hati kata Dr Hairol Azrin adalah pembunuh senyap dan ia boleh membesar dan merosakkan sehingga dua pertiga organ itu sebelum menunjukkan gejala.

Gejala biasa bagi penyakit ini kata Dr Hairol Azrin termasuklah kulit kelihatan kuning, air berkumpul dalam abdomen sehingga menyebabkan perut membengkak, pendarahan pada gusi dan sebagainya.



Senaman serta amalan gaya hidup sihat cara paling berkesan untuk merawat hati berlemak.

"Kebanyakan pesakit yang datang mereka sudah berada diperingat akhir kerana tidak menyedari tentang penyakit itu atau tidak bergejala.

"Apabila gejala muncul, kebiasaannya sudah terlewat dan sebab itu saringan untuk pengesanan awal penyakit ini sangat penting terutamanya bagi golongan berisiko dan sudah berusia," ujarnya.

Selain itu katanya, bagi pesakit hati berlemak dalam peringkat awal, keadaan itu boleh dipulihkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, bersenam dan mengawal berat badan.

Sekiranya hati berlemak sudah mencapai tahap sirosis, pesakit perlu membuat pemeriksaan berkala bagi mengesan sebarang perubahan pada hati.

"Hati berlemak adalah perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia dan sirosis jarang berlaku. Sekiranya pemeriksaan tidak dibuat untuk mengesan sebarang perubahan, sirosi boleh berubah menjadi kanser," katanya.

Sumber: mStar