WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

MIMPI JADI KENYATAAN BUAT BRONT PALARAE

Michael Haussman dalam filem antarabangsa berjudul Edge of the World umpama mimpi menjadi kenyataan buat Bront Palarae


Back To Whats Hot

Kuala Lumpur: Peluang bekerja di bawah pengarah, Michael Haussman dalam filem antarabangsa berjudul Edge of the World umpama mimpi menjadi kenyataan buat Bront Palarae.

Filem berkenaan mula ditayangkan untuk pasaran United Kingdom bermula 21 Jun ini.

Bront ketika dihubungi berkata, dia dan Haussman cukup serasi sepanjang penggambaran yang berlangsung di Sarawak selama dua bulan bermula Oktober hingga Disember 2019.

Haussman yang juga pengarah dari Amerika Syarikat sinonim dengan penghasilan filem pendek dan muzik video penyanyi popular dunia.

Dia pernah menghasilkan muzik video penyanyi popular seperti Madonna, Richard Marx, Kanye West, Justin Timberlake, Jennifer Lopez, Selena Gomez, Britney Spears, Eric Clapton, Paula Abdul dan ramai lagi.

Haussman juga pernah memenangi enam anugerah di MTV Video Music Awards.

Bront berkata, dalam filem berkenaan dia membawa watak sebagai Pangeran Mahkota.

"Alhamdulillah, kerjasama dengannya begitu mudah. Ketika menuntut dalam bidang filem dulu, saya banyak mengikuti hasil kerjanya sama ada iklan atau video muzik.

"Jadi, peluang untuk berlakon di bawah arahannya ibarat pucuk dicita, ulam mendatang. Apa yang lebih menarik adalah keserasian kami dalam bekerjasama sepanjang penggambaran berlangsung," katanya kepada Harian Metro.

Filem itu mengisahkan mengenai perjalanan Sir James Brooke ketika datang ke Bumi Kenyalang itu.

Selain Bront, filem itu juga turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Dominic Monaghan, Jonathan Rhys Myers, Josie Ho beberapa pelakon Malaysia antaranya Shaheizy Sam dan Wan Hanafi Su.

Sumber: Harian Metro
oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my