WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

KALAU BOLEH TAK NAK BERTUNANG LAMA - AYIE FLOOR 88

Bertunang malam tadi, vokalis Floor 88, Ayie mahu mempercepatkan majlis perkahwinan dengan gadis pilihan jika semua perancangan dipermudahkan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Bertunang malam tadi, vokalis Floor 88, Ayie mahu mempercepatkan majlis perkahwinan dengan gadis pilihan jika semua perancangan dipermudahkan.

Ayie, 23, dan tunangnya, Nur Natasha Ahmad Nawawi, 22, memberi tempoh setahun untuk mendirikan rumah tangga.

Mahu berkahwin pada usia muda, Ayie atau nama penuh, Nik Fadlee Elhamsah berkata, tempoh setahun yang dipersetujui keluarga sekadar syarat.

"Kalau boleh dipercepatkan perkara yang baik, insya-Allah kami mahu berkahwin segera tahun ini.

"Namun, belum ada tarikh ditetapkan setakat ini," katanya kepada BH Online.

Enggan menyorok hubungannya dengan Nur Natasha atau disapa Tasha, Ayie meminta keluarga menyunting gadis pilihannya itu.

"Saya kenal ramai wanita. Namun, hati benar-benar terpikat dengan Tasha. Dia bagai magnet yang menarik saya.

"Wajah manis dan matanya yang tajam memikat hati saya. Kami berkenalan kira-kira tiga tahun lalu iaitu selepas saya menghadiri Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

'Berkawan setahun, kami kemudian bercinta," katanya.

Sementara itu, Tasha mengakui Ayie memiliki ciri-ciri lelaki idaman yang mementingkan keluarga.

"Ayie jejaka 'family man' (mengutamakan keluarga). Ketika mula berkenalan, saya tahu dia boleh dijadikan calon suami.

"Pada mulanya, saya tidak nafikan timbul rasa cemburu kerana Ayie digilai peminat. Lama-kelamaan, saya sudah biasa dan faham itu adalah sebahagian daripada kerjanya," katanya.

Ayie dan Tasha melangsungkan pertunangan ibu premis acara di ibu negara, malam tadi.

Tasha menerima dua bentuk cincin iaitu cincin merisik dan bertunang daripada keluarga Ayie yang datang dari Sabah.

Ayie turut menyerahkan lima dulang berbalas tujuh dulang daripada Tasha.

Selain anggota Floor 88, majlis pertunangan itu turut dimeriahkan teman artis seperti Adam Lee, Sweet Qismina dan Shahrul Amin.

Sumber: Berita Harian
oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bh.com.my
Foto Ihsan IG Ayie Floor 88