• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

PERKHIDMATAN BAS EKSPRES DI SARAWAK BEROPERASI SEMULA BULAN DEPAN

JPBNS memutuskan untuk membenarkan perkhidmatan bas ekspres atau wilayah beroperasi semula di Sarawak selepas 1 Jun 2020


Back To Whats Hot

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk membenarkan perkhidmatan bas ekspres atau wilayah beroperasi semula di Sarawak selepas 1 Jun 2020.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, keputusan itu diambil setelah JPBNS mengadakan mesyuarat secara menyeluruh semalam (18 Mei).

“Justeru, semua pengusaha bas ekspres atau wilayah dinasihatkan melakukan semua persediaan yang perlu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum meneruskan semula perkhidmatan mereka sepanjang tempoh ini.

“Ini termasuk membersihkan bas mereka, melakukan ujian swab bagi pemandu mereka, menyusun semula susunan tempat duduk di dalam bas bagi tujuan penjarakan sosial serta menyediakan peralatan lain seperti alat penyukat suhu, pensanitasi tangan dan pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lee berkata, langkah itu diambil untuk melindungi semua orang terutama pemandu bas dan penumpang dalam usaha mencegah penyebaran COVID-19 di Sarawak.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sehingga hari ini, kerajaan negeri amat memahami keadaan yang dihadapi orang ramai dan semua pemain industri termasuk pengusaha bas ekspress atau wilayah.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan pemahaman mereka mengenai  tindakan kerajaan untuk membendung wabak COVID-19,” katanya.

Ujarnya, kerjasama penuh yang diambil kerajaan negeri dengan pihak berkepentingan termasuk pengusaha bas ekspres atau wilayah telah memberi hasil menggembirakan dan positif seperti ditunjukkan dalam lima hari terakhir di mana tidak ada kes baru positif COVID-19 dilaporkan.

“Selain itu, semua zon di negeri ini sekarang dikategorikan sebagai salah satu zon hijau atau kuning,” tambah beliau.

Pada masa ini, katanya, semua pergerakan antara daerah di Sarawak perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis.

“Ini untuk mengurangkan kontak fizikal di antara orang dari daerah yang berlainan untuk mengekang penyebaran COVID-19,” jelasnya.

Dalam perkara ini, kata Lee, pihak kerajaan turut membuat peraturan untuk mengurangkan jumlah orang yang berkumpul ketika perayaan yang akan datang iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Marlinda Mardzuki