WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

DAYANG HARGAI DOA PEMINAT

Dayang tidak melatah apabila peminat mengharapkan dia dan Hael bercinta


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Perkongsian gambar Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini berpakaian sedondon ketika beraya bersama di Instagram, baru-baru ini disambut baik peminat yang berharap hubungan mereka akan melangkah ke fasa lebih indah.

Melihat penerimaan peminat dari sudut positif, Dayang secara peribadi mengakui, serasi dengan Hael kerana penyanyi itu ialah antara rakan artis yang paling rapat dengannya.

“Saya tahu ramai peminat mendoakan dan mengharapkan perkara yang baik akan berlaku dalam hidup kami. Dalam hal ini, saya tidak perlu melatah, sebaliknya melihat penerimaan itu dari sudut positif.

“Saya juga anggap gosip mengaitkan saya dan Hael sebagai perkara biasa kerana kami memang rapat serta selesa bekerjasama. Mungkin kerana itu, peminat mengharapkan hubungan kami lebih daripada sekadar kawan.

“Apa yang saya boleh katakan, Hael antara rakan duet paling serasi dengan saya. Dia mampu memberikan magis setiap kali kami tampil di pentas dan ia membuatkan saya selesa setiap kali bergandingan dengannya,” katanya, mengulas mengenai foto yang diambil bersama anak saudaranya, Zahraa Aiesha dan anak angkat Hael, Helena.

Dayang yang pernah bekerjasama dengan Hael menerusi lagu Haram berkata, setakat ini, mereka masih belum mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu duet terbaru.

“Saya tidak pernah meletakkan jurang, malah terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi, asalkan antara kami mempunyai keserasian,” katanya.

Baru muncul dengan single rancak, Sebentar ciptaan Faizal Tahir, Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Romeo, Dayang dilihat sebagai antara penyanyi yang berjaya mencipta nama dengan imej bersih, selain tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana lelaki.

“Saya belum pernah bercinta, mahupun memiliki kekasih. Setakat ini, tiada siapa yang berani mendekati atau cuba mengetuk pintu hati.

“Saya memang memilih lelaki yang hendak dijadikan calon suami kerana kalau boleh, perkahwinan itu biar hanya sekali seumur hidup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dayang bakal menjayakan Konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya pada 21 Julai ini, sehari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-38.

Sumber: Berita Harian