WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

RAMAI SUKA NUR 2, BENCI USTAZ HAMADI

Drama Nur 2 pula menjadi ‘trending’ dari pertama sebelum ditayangkan lagi dan kekal menjadi trending nombor satu di Malaysia


Back To Whats Hot

“Sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari ujian hidup yang ditentukan Allah. Begitu juga golongan ustaz. Sebagai pengarah, apa salahnya kita menegur golongan ini dalam medium drama?,” kata pengarah drama bersiri Nur 2, Shahrulezad Mohameddin mengenai watak Ustaz Hamadi lakonan Azhan Rani yang mencuri tumpuan ramai dan teruk dikecam penonton dan netizen di laman sosial ketika ini.

Shahrulezad berkata, watak Hamadi berdasarkan kejadian sebenar yang sudah semakin kerap berlaku di sekeliling kita.

“Ada segelintir daripada golongan ini menggunakan agama untuk kepentingan diri dan bukan agama. Drama adalah satu medium dan kami sebagai pengkarya membuat kritikan sosial pada kepincangan atau kritikan sosial dalam kalangan golongan yang dihormati dan dipandang tinggi dalam masyarakat iaitu ustaz,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan drama Nur 2, Shahrulezad berkata, dia terharu ia mendapat sambutan hebat penonton.

“Saya tidak jangka kerana ramai yang berpendapat cerita sekuel selalunya gagal dan kurang mendapat sambutan berbanding yang pertama.

“Namun, drama Nur 2 pula menjadi ‘trending’ dari pertama sebelum ditayangkan lagi dan kekal menjadi trending nombor satu di Malaysia dan ‘Top 5’ di seluruh dunia. Saya difahamkan ‘rating’ tayangan juga lebih bagus daripada drama Nur tahun lalu,” katanya.

Mengenai episod akhir malam ini, Shahrulezad berkata, dia berharap penonton tidak melepaskan peluang untuk menonton kesudahannya.

“Buat mereka yang senasib dengan watak Aishah, jangan putus asa dan mengalah dengan nasib. Bangkitlah. Cuma diri kita sendiri yang boleh menjaga maruah dan harga diri kita sendiri,” katanya.

Ditanya sambungan Nur 3 pula, Shahrulezad berkata, ia tiada dalam perancangan lagi.

“Semuanya bergantung kepada perbincangan semua pihak termasuk stesen televisyen dan barisan pelakon,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta komen mengenai ada netizen yang sanggup memecahkan televisyen kerana marah dengan Ustaz Hamadi seperti yang dimuat naiknya di Instagram, Shahrulezad tidak pasti mengenainya.

“Saya sekadar memuat naik gambar itu kerana ada orang yang menghantar menerusi aplikasi WhatsApp. Saya tidak tahu pula sejauh mana kebenarannya,” katanya.

Episod Akhir drama bersiri Nur 2 lakonan Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani dan Azar Azmi disiarkan jam 10 malam di Slot Samarinda TV3 malam ini.

Sumber: Harian Metro