• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

NAMA TERCEMAR ANGKARA ISU LACUR

Sepanjang bergelar anak seni, Baby Shima seboleh mungkin menjaga nama baik daripada terlibat dengan sebarang kontroversi


Back To Whats Hot

Sepanjang bergelar anak seni, Baby Shima seboleh mungkin menjaga nama baik daripada terlibat dengan sebarang kontroversi. Jarang kita dengar berita kurang elok tentang penyanyi yang kini semakin rancak membina kerjaya di Indonesia itu.

Namun dek kerana sedikit salah faham, namanya tercalar apabila dia dituduh menjalankan kegiatan pelacuran secara dalam talian. Satu tamparan hebat buat pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli ini kerana tohmahan yang dilemparkan cukup berat untuk ditanggung.

“Ketika mendapat tahu hal tersebut saya rasa sedih, kecewa dan sakit hati. Dalam masa sama sedikit tertekan kerana nama saya dikaitkan dengan perkara yang tidak bermoral.

“Ini kes berat yang melibatkan maruah saya sendiri. Mahu atau tidak saya terpaksa berhadapan dengan perkara ini dan jelaskan sebaik mungkin perkara sebenar.

“Ada segelintir yang percaya hal tersebut. Menuduh saya dengan pelbagai kecaman dan isu ini turut dikaitkan dengan kerjaya saya sebagai penyanyi dangdut. Seakan saya mudah terjebak ke arah sedemikian,” cerita Shima.

Terdahulu industri hiburan Indonesia digemparkan dengan kes penangkapan pelakon Vanessa Angel atas tuduhan menjalankan kegiatan pelacuran. Rentetan kes itu, beberapa nama artis turut dikatakan terlibat.

Memanaskan lagi keadaan, sebuah stesen televisyen di sana secara tidak sengaja telah memaparkan gambar Shima sebagai salah seorang yang menjalankan ‘perusahaan’ sama.

Ia merupakan kesilapan pihak berkenaan kerana individu sebenar yang dimaksudkan juga menggunakan nama awal Baby sebagai nama pentas.

“Apabila kes ini berlaku ramai yang menghantar pesanan peribadi kepada saya. Mereka mudah percaya kerana gambar saya digunakan untuk sebuah program berita.

“Ada yang turut menawarkan wang untuk saya memberikan perkhidmatan seks. Saya juga menerima banyak komen warganet Malaysia yang sangat teruk. Sedangkan peminat di Indonesia ramai yang memberi semangat.

“Pihak stesen berkenaan sudah tampil memohon maaf kepada pihak pengurusan. Saya harap semua orang yang mudah terpedaya dan selidik dahulu kebenaran sesebuah cerita,” ujar Shima.


Tidak popular di Malaysia

Membuang jauh semua kemelut yang melanda. Shima tidak mahu apa yang sedang berlaku ini mengganggu perkembangan kerjaya yang semakin memuncak. Bukan mudah untuk dia mendapat peluang dan populariti seperti sekarang ini setelah lima tahun bertapak dalam industri.

Terus mengatur langkah di negara orang, Shima menganggap itu adalah rezeki yang mungkin tidak dia peroleh ketika cuba membina nama di Malaysia dahulu. Biar nama kurang dikenali di tanah air sendiri, langsung tiada terkilan di hati.

“Biarlah orang Malaysia tidak kenal, mungkin rezeki saya lebih di negara orang. Namun itu tidak bermakna saya akan lupakan semua peminat Malaysia yang banyak memberi sokongan.

“Saya juga yakin dengan permulaan yang baik di sini akan turut membantu saya kembali mencipta nama di Malaysia. Tidak kisah lambat sekali pun, saya pasti waktu itu akan tiba,” kata Shima.

Mengimbau kembali perjalanan seni seawal pembabitan, Shima mengakui ia bukan sesuatu yang mudah. Meskipun pernah menghasilkan beberapa buah lagu, namun ia jarang diputarkan di mana-mana stesen radio tempatan.

“Bohonglah jika tidak pernah rasa kecewa. Bukan mudah untuk menempatkan nama di Malaysia ketika awal kemunculan dahulu. Lagu yang saya hantar ke stesen radio ditolak dan tidak diputarkan.

“Namun saya tidak mahu putus asa. Apa cara sekali pun saya akan cuba untuk tempatkan diri dalam pasaran Malaysia. Jika orang tidak suka dengan lagu saya sekarang, saya akan cuba tampil dengan kelainan di masa akan datang,” jelas Shima yang akan tampil dalam filem berjudul Tantiana.

Bercakap tentang perkembangan nyanyian di sini pula, Shima baru selesai merakamkan lagu duet bersama Syafiq Farhain berjudul Manis-Manis Cinta. Lagu genre irama Malaysia itu adalah karya terakhir komposer terkenal Allahyarham Pak Ngah.

Kasi ajar si celupar

Belum reda dengan kontroversi yang melanda, kesabaran Shima sekali lagi diuji. Kali ini dia terpaksa bertempur dengan peperangan di alam siber demi menegakkan keadilan serta membuktikan dirinya tidak bersalah.

Entah dari mana puncanya, seorang individu dalam laman sosial menghantar pesanan dengan pelbagai kata-kata kesat dan lucah. Setelah lama berdiam, Shima akhirnya membuat laporan kepada pihak berkuasa sebagai pengajaran kepada orang yang tidak bertanggungjawab.

“Individu tersebut menghantar pesanan yang tidak sepatutnya. Walaupun saya tidak melayan, namun dia terus berbuat demikian dan berlarutan sehingga satu minggu.

“Apabila saya mula menjawab, dia mula cari alasan kononnya laman Instagram digodam. Malah ibu bapa individu tersebut turut menghubungi saya dan meminta agar saya tidak membawa kes ini ke pihak berkuasa.

“Dia seolah turut mencabar kuasa polis apabila saya beritahu ingin membuat laporan. Saya mahu perkara sebegini menjadi pengajaran buat dia dan juga orang lain supaya jangan salah gunakan media sosial," beritahu Shima.

Berhadapan dengan pelbagai situasi dan kontroversi, Shima faham benar ini adalah harga yang perlu dibayar sebagai seorang artis. Namun dia menegaskan dirinya juga punya hati dan perasaan.

“Orang ramai menganggap hidup sebagai seorang artis lebih terbuka dan sedia menerima kritikan. Warganet bebas bercakap apa sahaja dalam media sosial tanpa mengambil kira sensitiviti seseorang.

“Sebagai manusia ada masanya saya juga rasa terkesan apabila menerima ujian sebegini. Bukan setiap masa saya boleh kuat. Kata-kata yang dilemparkan mengguris hati dan perasaan,” luah Shima.

Sumber: Utusan Online