WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

TERHARU TERIMA KATA SEMANGAT NOOR KUMALASARI


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (BH) Ke-31, Wany Hasrita terharu apabila artis legenda, Noor Kumalasari memberikan pelbagai kata nasihat ketika mereka bertemu di belakang pentas acara itu, Ahad lalu.

Wany, 25, berkata dia sangat terkesan apabila penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat itu mengetahui lagu nyanyiannya, malah turut mendoakan kejayaannya sebagai penyanyi.

“Mendengar nasihatnya membuatkan hati saya terdetik, apa lagi yang saya mahukan? Saya tidak boleh lemah mendengar cacian dan kejian daripada individu yang tidak faham mengenai perjalanan industri hiburan.

“Saya juga tidak patut ambil peduli kata mereka yang cuba menjatuhkan semangat. Alhamdulillah, saya sentiasa dikelilingi penyanyi senior yang tidak pernah putus memberikan pelbagai nasihat supaya terus kuat mengejar impian.

“Kepercayaan mereka membuatkan saya lebih berani berdepan cabaran,” kata Wany yang mengakui, dia perlu sentiasa positif apabila kemenangannya pada ABPBH 31 lalu dipertikai segelintir pihak.

Akur tidak dapat menutup mulut mereka yang tidak berpuas hati itu, Wany berkata, pengalaman yang dilaluinya itu adalah asam garam yang mematangkan dirinya untuk menjadi insan seni lebih dihormati.

 

Wany Hasrita bersama penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Noor Kumalasari pada malam kemuncak ABPBH 31. Foto: NSTP

 

"Secara jujur, saya terbuka jika ada yang tidak berpuas hati dengan kemenangan itu. Cuma, apabila ada yang mencaci dan memaki sesuka hati, saya agak terasa. Sebagai manusia, saya juga ada hati dan perasaan, tetapi semua itu tidak mengganggu fokus masa depan saya.

“Ia sebaliknya, membuatkan saya semakin bersemangat untuk memberikan hasil kerja yang membanggakan dan membuktikan saya juga mempunyai kekuatan tersendiri. Biar masa yang tentukan,” katanya.

Wany juga mengakui, dia masih belum dapat menerima dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular kerana kemenangan itu di luar jangkaannya.

"Trofi itu memberi peringatan saya mempunyai tanggungjawab besar perlu dilaksanakan sebagai penyanyi.

Saya terima pandangan semua pihak dan mengambilnya sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan sebenar,” katanya.

Sumber: Berita Harian