WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST

06.00am - 10.00am

ADI WIRA MARVEL TERKECIL KEMBALI MENYENGAT DALAM 'ANT-MAN AND THE WASP'

Dalam filem ini juga, kita akan mendapat jawapan di mana Ant-Man ketika adi wira yang lain sibuk menentang Thanos


Back To Whats Hot

Filem "Ant-Man and The Wasp" ialah filem ke-20 dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) terbitan Marvel Studios dan ia juga sekuel kepada "Ant-Man" yang ditayangkan pada tahun 2015.

Masih mengekalkan sutradara sama iaitu Peyton Reed, "Ant-Man and The Wasp" dikatakan filem penting dalam MCU kerana ia umpama jambatan dan mempunyai hubungan serta elemen yang penting kepada filem "Avengers 4".

Dibintangi Paul Rudd sebagai Ant-Man serta Evangeline Lily selaku The Wasp, filem ini turut menampilkan pelakon ternama Hollywood antaranya Michael Douglas, Michael Peña, Michelle Pfeiffer dan Laurence Fishburne.

Sekuel ini juga memperkenalkan The Wasp sebagai gandingan adi wira Marvel terkecil ini dalam menentang Ghost iaitu watak antagonis dalam filem ini.

 

Paul Rudd bersama Michael Douglas didalam 'Ant-Man and The Wasp' - Foto oleh Youtube Marvel Entertainment

 

Tidak hanya tertumpu kepada konflik dengan Ghost, plot dalam filem Ant-Man and The Wasp turut berkisar tentang ‘Quantum Realm’ ataupun alam kuantum dalam MCU -- elemen yang penting kepada "Avengers 4".

Selain itu, penampilan Michael Douglas dalam filem ini juga lebih ketara dan ini membolehkan penonton mengenali lebih mendalam sejarah Hank Pym dan Ant-Man sendiri.

Nilai kekeluargaan diangkat dengan baik dalam filem ini melalui babak yang menunjukkan seorang ayah menjadi tahanan rumah setelah membantu Captain America dalam "Civil War" demi melindungi dan membahagiakan anaknya.

Tidak ketinggalan unsur komedi bersahaja dalam filem ini yang disajikan dengan baik terutamanya oleh Michael Peña melalui trademark cara penceritaannya sebagai Luis.

Harus dipuji juga CGI dan adegan aksi yang dikoreografi dengan baik dalam memaparkan keupayaan kuasa Ant-Man dan The Wasp.

 

Ant-Man menjadi besar, Giant-Man - Foto oleh Youtube Marvel Entertainment

 

Ada dua garis masa yang berlaku dalam filem ini iaitu selepas "Captain America: Civil War" dan semasa"Avengers: Infinity War".

Dalam filem ini juga, kita akan mendapat jawapan di mana Ant-Man ketika adi wira yang lain sibuk menentang Thanos.

Hasil garapan filem ini, walaupun banyak memberikan jawapan kepada pelbagai persoalan di fikiran peminat Marvel, kekemasan jalan cerita yang seolah 'disumbat' ini tidak disusun dengan baik.

Faktor wow dalam filem ini tidak banyak kecuali Ant-Man menjadi gergasi bersaiz 85 kaki ataupun sebesar Ultraman.

Bagi watak antagonis pula, Ghost, walaupun tidak sejahat atau sekuat namanya, bagi penulis agak kurang dirasai 'sengat'nya.

Malah, pada pandangan penulis, filem pertama Ant-Man mempunyai watak antagonis yang lebih baik dan lebih jahat daripada Ghost.

 

Ghost, watak antagonis atau villain dalam 'Ant-Man and The Wasp' - Foto Youtube Marvel Entertainment

 

Secara keseluruhannya, filem ini lebih mesra keluarga dan hanya berada pada skala biasa berbanding filem awal Ant-Man pada tahun 2015.

Mungkin juga ini strategi Marvel yang mahu filem yang lebih kecil dan relaks selepas filem epik "Avengers: Infinity War" selain melengkapkan senarai filem MCU sebelum "Avengers 4".

Apa pun, saksikan sendiri 'Ant-Man and The Wasp' terbitan Marvel Studios di pawagam sekarang.

Bonus! Seperti biasa jangan keluar dari pawagam sehingga habis kerana filem ini mempunyai dua adegan ‘end-credit’.

Sumber: AWANI