WHAT'S NEXT

CATS 30

10.00am - 01.00pm

FILEM LAMA JADI RUJUKAN

Asmidar mengakui bidang lakonan sememang amat mencabar


Back To Whats Hot

Kali kedua terbabit dengan pementasan, Asmidar mengakui bidang lakonan sememang amat mencabar. Tambahan pula, dia harus membawakan watak sebagai Tun Aria dalam teater bangsawan.

Teknik lakonan, bahasa tubuh dan lontaran suara semuanya serba baharu. Dia harus membuat rujukan dengan menonton filem lama sebelum memulakan sesi latihan dengan pelakon lain.

“Dialog menggunakan bahasa lama. Saya perlu memahami apa yang cuba disampaikan Tun Aria barulah saya dapat ‘blend’ dengan karakter sebagai sahabat baik Wan Anum.

“Saya menjadikan filem lama sebagai rujukan. Saya cuba meneliti cara mereka menyampaikan dialog yang berbunga itu. Teater bangsawan ini pernah dipentaskan tahun lalu, tetapi pelakon lain yang bawa watak Tun Aria.

“Disebabkan komitmen pada keluarga dan tidak dapat menyertai jerayawara ke beberapa negeri, maka saya dipilih Pat Ibrahim untuk menggantikannya. Dia juga salah seorang rujukan saya bagi menjayakan watak Tun Aria,” katanya.

Berganding dengan pelakon berpengalaman luas dalam teater seperti Nadia Aqilah, Hairi Safwan dan Jay Iswazir membuatkan Asmidar gementar. Dia mengakui mulanya agak tertekan dengan keadaan itu.

Penyanyi yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa itu bagaimanapun lega kerana mendapat bantuan dan sokongan daripada pelakon dan Pat.

“Pat seorang yang kelakar, tetapi tegas ketika bekerja. Semua pelakon harus berlatih bersungguh-sungguh dan serius. Tidak boleh sambil lewa. Tambahan pula saya bukannya pelakon. Memang ada rasa tertekan sikit sebab semuanya pelakon berpengalaman.

“Tetapi, saya lega kerana mereka memberikan bantuan dan sokongan. Mereka mengajar saya teknik lontaran suara yang betul. Cuma, sebagai orang baru saya kena usaha lebih berbanding orang lain,” katanya.

Memberikan laluan pada latihan dan seterusnya Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya, Asmidar terpaksa menolak tawaran lain. Katanya, dia perlu memberikan tumpuan pada teater ini terlebih dahulu.

Andai tidak ada latihan mahupun undangan yang perlu dipenuhi pada bulan Ramadan, Asmidar akan membantu ibu bapanya berniaga murtabak di pasar malam di Wangsa Maju.

“Memang sebelum bergelar artis pun saya selalu membantu mereka di pasar malam. Kami ada gerai makan, tetapi setiap kali bulan Ramadan, kami buka gerai menjual murtabak,” kata Asmidar.

Sumber: Harian Metro