WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

KHAIRUL CARI RENTAK DI ITALI

Khairul Hafiz akan membuat penampilan pertama tahun ini apabila dijadualkan beraksi dalam acara saringan 100m di Universiade 2019 di Napoli, Itali


Back To Sports Updates

Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dilihat sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan pertamanya tahun ini apabila dijadualkan beraksi di peringkat saringan acara 100 meter (m) pada Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2019 di Napoli, Itali hari ini.

Jurulatih peribadinya, Mohd. Poad Kassim bagaimanapun enggan meletakkan harapan tinggi ke atas anak didiknya itu, sebaliknya berharap atlet pecut negara tersebut berjaya meloloskan diri ke peringkat final untuk meraih semula keyakinannya sebelum ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina hujung tahun ini.

Menurut Poad, beliau berpuas hati sekiranya Khairul, 21, berjaya mencatat masa di bawah 10.40 saat (s) memandangkan pelari kelahiran Melaka itu sudah lama tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif sejak mengalami kecederaan pada Februari lalu.

“Saya yakin Khairul akan membuat kebangkitan semula kerana dia tidak berdepan masalah langsung untuk catat masa kurang 10.40s dalam sesi latihan sekarang.

“Universiade amat penting untuk keyakinan Khairul yang sudah lama tidak berlari pada kejohanan kompetitif. Saya harap dia dapat serap segala tekanan dan menampilkan larian terbaik pada saingan esok (hari ini).

“Saya harap selepas ini ada perancangan untuk hantar dia berlatih dan sertai kejohanan di sekitar Eropah kerana pro­ses rawatan dan pembentukan fizikalnya sudah tamat. Badan dia nampak ada perubahan dan semakin berotot sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Poad turut berharap Khairul Hafiz yang merupakan penuntut di Universiti Putra Malaysia, tidak terlalu memaksa diri untuk mengulangi larian terbaiknya seperti ketika mencetak rekod 100m baharu kebangsaan de­ngan catatan 10.18s yang dilakukannya tiga tahun lalu.

“Saya tidak mahu dia me­nyasarkan apa-apa rekod kerana tumpuan utama tahun ini ialah mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2019,” jelasnya.

Selain Khairul, seorang lagi pelari negara yang mengambil bahagian dalam acara 100m ialah Jonathan Nyepa yang berlatih di Amerika Syarikat sejak Februari lalu.

Sumber: Kosmo! Online