WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

'NEYMAR PERLU MOHON MAAF'

Neymar perlu membuat permohonan maaf secara rasmi kepada peminat Barcelona jika dia melengkapkan kepulangan semula ke Nou Camp musim panas ini


Back To Sports Updates

PARIS: Legenda Brazil, Rivaldo berkata Neymar perlu membuat permohonan maaf secara rasmi kepada peminat Barcelona jika dia melengkapkan kepulangan semula ke Nou Camp musim panas ini.

Neymar meninggalkan Barca untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017 selepas gergasi Perancis itu membayar 220 juta euro (RM1.04 bilion) tetapi selepas dua tahun, pengurusan tertinggi kelab berkenaan tampak bersedia untuk melepaskannya.

Rivaldo yang bermain untuk Barca di antara musim 1997 hingga 2002 berkata dia mahu melihat rakan senegaranya itu kembali ke Catalunya dan membantu kelab itu menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Begitupun dia menyedari ada sesuatu yang perlu dibuat pemain berusia 27 tahun itu terutama bagi memulihkan sokongan peminat terhadapnya.

“Ia keputusan yang sukar,” kata Rivaldo. “Ia sukar disebabkan cara Neymar pergi sebelum ini. Saya fikir ramai peminat marah dengan semua yang berlaku, tetapi itulah bola sepak, ia bagus dan Neymar adalah pemain hebat yang mempunyai personaliti.

“Jadi jika dia datang ke sini sudah tentu akan ada masanya dia akan dikritik oleh segelintir peminat, tetapi dalam perlawanan, latihan, Neymar masih Neymar yang sama, dan ia boleh menjadi sesuatu yang istimewa buat Barca.

“Dia patut meminta maaf. Ya, secara rasmi, mengakui dia melakukan kesilapan dan berkata ini adalah kediamannya, dan dia sudah berubah. Saya fikir semua peminat... ramai akan memahaminya, mereka melihatnya di atas padang dalam liga, Liga Juara-Juara, melakukan perkara dengan baik dan peminat akan memaafkannya dengan mudah.

“Jika ia sama seperti ketika dia bermain di sini bersama (Lionel) Messi dan (Luis) Suarez, ia hebat buat kelab. Jika mereka menang Liga Juara-Juara, saya tidak fikir ia akan menjadi masalah buat mereka.”

Sumber: Berita Harian