WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

SOLSKJAER: UNITED TIDAK CUKUP BAGUS UNTUK SAINGI CITY

Solskjaer, akur dengan jurang kualiti di antara pasukannya dengan Manchester City


Back To Sports Updates

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, akur dengan jurang kualiti di antara pasukannya dengan Manchester City selepas tewas 0-2 dalam aksi di Old Trafford, awal pagi Khamis.

United dibelasah Everton 4-0, hujung minggu lalu dan Solskjaer merombak pasukannya dalam aksi 'derby' Manchester itu.

Sebanyak lima pertukaran dilakukannya dalam kesebelasan utama bagi mendorong aksi seimbang dalam separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan.

"Kami memberikan reaksi, namun pada akhirnya, kami tewas kepada pasukan yang lebih baik," katanya kepada Sky Sports.

"Bagaimanapun, kami menerima reaksi daripada penyokong dan pemain untuk melakukan percubaan dan terus berusaha.

"Ia tidak selalu menemui sasaran, namun anda dapat lihat usaha yang dilakukan mereka.

"Ia belum cukup bagus. Tedapat perbezaan daripada segi kualiti.

"Disebabkan itu mereka berada di atas dan kami berada di mana kami berada sekarang.

"Mereka telah menetapkan standard mereka.

"Ia terpulang kepada kami untuk menutup jurang itu dan memintas mereka.

"Kami hanya perlu berusaha lagi," katanya.

Kapten pelawat, Vincent Kompany, dan Oleksandr Zinchenko, dilayangkan kad kuning dalam separuh masa pertama ketika mengekang serangan United, namun Solskjaer memuji gaya permainan City yang kurang disenangi Pep Guardiola itu.

"City mahu memenangi kembali (bola) dan dengan lebih agresif, ia pasti akan menjadi kekasaran.

"Anda mahukan pasukan seperti itu. Mereka membawa bola ke hadapan dan sentiasa mahu memenanginya kembali.

"Mereka menghalang kami dengan amat baik," tambahnya.

Menjelang pertemuan penting United dengan Chelsea, hujung minggu ini dan juga kekalahan Arsenal kepada Wolves yang membuka kembali perebutan kedudukan empat teratas, Solskjaer ada pesanan buat penjaga golnya itu.

"David juga melakukan aksi menyelamat luar biasa. Dia memiliki standard yang tinggi.

"Ketika berdepan situasi seperti ini, kami perlu kekal bersatu, melupakan segala yang terjadi, tidak bertindak terburu-buru dan terus berusaha.

"Kami perlu kembali berjuang pada Ahad ini," katanya.

Sumber: AWANI