WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

JALIL OPTIMIS SARAWAK MAMPU MENANG

Gagal mengawal emosi serta melakukan terjahan keras ke atas pemain lawan antara punca kekalahan skuad muda Sarawak


Back To Sports Updates

MIRI: Gagal mengawal emosi serta melakukan terjahan keras ke atas pemain  lawan antara punca kekalahan skuad muda Sarawak pada kempen Piala Presiden 2019 di Stadium Miri, petang kelmarin.

Ketua Jurulatihnya, Abdul Jalil Ramli mengakui skuad bimbingannya mampu melakarkan kemenangan sulung di gelanggang sendiri (kelmarin) namun disebabkan gagal mengawal emosi, pasukan lawan bijak memanipulasi peluang.

“Punca kekalahan kita kelmarin adalah disebabkan terjahan keras ke atas pemain Terengganu FC III sehingga pengadil memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Abdul Jalil berkata, keghairahan pemain-pemain untuk mencatat kemenangan selepas mendahului pasukan pelawat, Terengganu FC III serta gagal mengawal perasaan menjadi punca kekalahan.

“Kita akan memberi rehat beberapa hari kepada pemain-pemain dan akan menjalani latihan semula minggu depan memandangkan kita ada tempoh rehat yang panjang,” katanya.

Pasukan Sarawak akan melayan kunjungan skuad warga kota, Kuala Lumpur pada 30 Mac ini dan ini adalah perlawanan keempat berturut-turut di laman sendiri (Stadium Miri).

Ketika ini, Terengganu FC III masih gah di singgahsana Kumpulan B diikuti PKNP FC, Perak dan seterusnya Kuala Lumpur.

Sementara Sarawak masih berada di kedudukan kelapan selepas memperolehi keputusan menang sekali, dua kali seri dan dua kali kalah.

Sementara itu, Kuala Lumpur turut mencipta kemenangan menentang Kelantan dengan jaringan 1-0 kelmarin.

Perlawanan menentang Kuala Lumpur itu juga akan menjadi cabaran kepada Sarawak selepas pasukan Lembah Klang itu mencetak tiga kemenangan dan dua kali seri.

Berbeza hanya satu mata dengan pendahulu Kumpulan B, Kuala Lumpur sudah pasti berazam untuk mencipta kemenangan berganda pada 30 Mac ini.

Bagaimanapun, Abdul Jalil optimis akan memperbaiki kelemahan serta  mempertajamkan jentera bahagian serangan.

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini kita kekurangan jaringan dan kita akan memperhebat jentera serangan pada latihan minggu depan,” jelasnya.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Mohamad Norhadie Sahari