WHAT'S NEXT

ANTAP MUSIC

12.00am - 06.00am

SELURUH ENGLAND: AARON-WOOI YIK MUNCUL NAIB JUARA

Kemaraan Aaron-Wooi Yik sejauh ini tetap membanggakan dan menjanjikan harapan untuk tampil lebih cemerlang pada masa depan


Back To Sports Updates

Aksi cemerlang dalam Kejohanan Badminton Seluruh England buat pasangan beregu muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sampai ke penghujungnya apabila terpaksa akur kepada kehebatan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dalam final di Arena Birmingham, sebentar tadi.

Pemburuan kejuaraan buat pasangan muda negara itu dimulakan dengan tempo permainan menarik dengan kawalan gelanggang dan permainan bertahan yang kemas dipamerkan Aaron dan Wooi Yik.

Walaupun Ahsan-Setiawan mengejar saingan, namun Aaron dan Wooi Yik melengkapkan permulaan cemerlang apabila mengungguli aksi set pertama dengan kemenangan 21-11 dalam tempoh 13 minit.

Bersambung set kedua, pasangan Indonesia itu tampil dengan lebih agresif, dibantu beberapa kesilapan demi kesilapan dilakukan pasangan Malaysia, khususnya Aaron, yang dijadikan sasaran utama mereka meraih mata sebelum memenangi set kedua 21-14.

Debaran semakin memuncak dalam set penentuan dengan kedua-dua pasangan saling berkejar mata, namun Aaron dan Wooi Yik terperangkap dengan gerakan pasangan Indonesia itu sebelum mereka memastikan kemenangan 21-12 untuk merakamkan kejuaraan ketiga Seluruh England.

Namun, sebagai pasangan yang melakukan penampilan pertama dalam Seluruh England, kemaraan Aaron-Wooi Yik sejauh ini tetap membanggakan dan menjanjikan harapan untuk tampil lebih cemerlang pada masa depan.

Sumber: AWANI