• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

SARAWAK SAMBAR PENYERANG DARI BRAZIL

Sarawak menandatangani seorang lagi pemain Brazil, Hudson Dias De Jesus bagi menggantikan pemain pertahanan, Ronald Hikspoors


Back To Sports Updates

KUCHING: Sarawak menandatangani seorang lagi pemain Brazil, Hudson Dias De Jesus bagi menggantikan pemain pertahanan, Ronald Hikspoors yang diserap dalam barisan kejurulatihan skuad selepas mengalami kecederaan.

Pengurus Pasukan, Hamzah Brahim ketika mengumumkan perkara itu semalam berkata proses mengikat penyerang berusia 27 tahun itu sedang dipercepatkan bagi membolehkan beliau diturunkan pada perlawanan sulung Sabtu ini menentang Pulau Pinang.

“Hasil perbincangan dengan pihak pengurusan dan kejurulatihan, kita bersetuju atas desakan keperluan semasa mengambil penyerang dari Brazil iaitu Hudson Dias.

“Saya dimaklumkan oleh barisan kejurulatihan bahawa tahap kecergasan penyerang utama, Muamer Salibasic belum pulih sepenuhnya. Justeru, kita amat memerlukan penyerang untuk mengambil alih tugas beliau.

“Kita tewas pada perlawanan pertama minggu lepas dan amat memerlukan kemenangan pada perlawanan kedua Sabtu ini,” jelas Hamzah pada sidang media semalam.

Menurut Hamzah, beliau akui posisi lain juga perlu dipertingkatkan selepas kekalahan pertama namun fokus utama ketika ini adalah untuk mempertajamkan jentera serangan.

Beliau turut mengumumkan penyerang cilik dari Indonesia, Rian Firmansyah juga akan membuat penampilan pertamanya pada Sabtu ini.

Ia berita gembira buat Ketua Jurulatih, Mohd Farhan Abdullah selepas pemain sayap lincah, Abdul Rahim Abdul Razak terpaksa direhatkan untuk tempoh agak panjang selepas mengalami kecederaan semasa sesi latihan kelmarin.

“Rian juga akan dapat diturunkan kerana sijil perpindahan antarabangsa beliau (ITC) sudah diluluskan hari ini (semalam).

“Saya juga difahamkan Hudson telah menjalani pemeriksaan kecergasan hari ini (semalam) dan berharap pemain itu dapat diturunkan pada Sabtu ini,” tambah Hamzah lagi.

Pada masa sama, beliau menyeru sokongan padu penyokong untuk turun memenuhi Stadium Negeri, Petra Jaya bagi memberikan sokongan padu kepada Sarawak.

Dengan ketinggian 1.90 meter selain memiliki kepantasan dan kawalan bola yang baik, Hudson dilihat jawapan segera kepada masalah di jentera serangan Sarawak selepas ini.

Sebelum bertukar angin ke Malaysia, beliau pernah beraksi di kelab Santa Cruz FC (Brazil), Cabofriense (Brazil) dan Sporting Covilha (Portugal).

Hudson yang merupakan rakan baik pemain pertahanan Sarawak, Pedro Henrique Dias De Amorim tiba di sini kelmarin bersama dua lagi rakannya yang turut menjalani ujian, Rodrigo Amorim Oliveira dan Marcelo Cabral Pinha Domingues.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Harry Ilias