WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

UTAMAKAN PASUKAN UNTUK CAPAI KEJAYAAN

Pengurus Pasukan Sarawak Hamzah Brahim mahu barisan pengurusan, kejurulatihan termasuk para pemain mementingkan semangat kekeluargaan dan keharmonian


Back To Sports Updates

KUCHING: Pengurus Pasukan Sarawak Hamzah Brahim mahu barisan pengurusan, kejurulatihan termasuk para pemain mementingkan semangat kekeluargaan dan keharmonian dalam pasukan tersebut.

Tegasnya, semangat kekeluargaan, keharmonian dan perpaduan sangat penting dalam mana-mana pasukan bola sepak untuk mencapai kejayaan.

“Saya amat menekankan semangat kekeluargaan dalam pasukan, keharmonian, perpaduan dan ‘blood brother.’

“Apabila kita menang kita bersama… bila kita kalah kita juga terus bersama,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau juga mahu barisan jurulatih mahupun pegawai pasukan bersikap telus terutama dalam mengambil sebarang keputusan untuk kepentingan pasukan.

Jelasnya, setiap keputusan yang diambil haruslah berdasarkan pendapat dan persetujuan bersama agar tidak wujud sikap tuding menuding sesama sendiri jika pasukan mencatat keputusan yang kurang memuaskan.

Hamzah juga berharap para penyokong memberikan peluang dan ruang kepada pasukan baharu berkenaan untuk membuktikan sesuatu pada tahun ini.

“Ini pasukan baharu yang dibentuk kerana ramai pemain senior berhijrah. Mereka pemain muda diambil dari seluruh Sarawak dan kita bangga kerana banyak etnik dalam pasukan ini.

“Jadi wujud semangat ‘Ngap Sayot’ baharu yang berteraskan ‘Borneo Fighter’. Tahun ini lebih kepada pembentukan asas namun saya berharap keputusan tahun in lebih baik dari tahun lepas.

“Jangan terus menghukum jika kita tidak dapat mencapai kemenangan dalam masa terdekat,” tambah Hamzah lagi.

Beliau juga percaya sentuhan barisan jurulatih tempatan selain suntikan moral daripada legenda Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamed sebagai penasihat pasukan mewujudkan semangat Sarawak yang utuh untuk membawa pasukan itu mencatat keputusan yang lebih baik berbanding tahun lepas.

Mengulas mengenai perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan esok, Hamzah tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk membawa pulang mata.

Namun tegasnya, pasukan telah berikrar untuk memberi tentangan habis-habisan dan memperagakan persembahan terbaik dalam perlawanan itu.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Harry Ilias