• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

BERDEPAN BURNLEY, SOLSKJAER HARAP UNITED TERUSKAN RENTAK CEMERLANG

Ole Gunnar Solskjaer, berharap untuk meneruskan permulaan cemerlang apabila menanti kunjungan Burnley di Old Trafford hari ini


Back To Sports Updates

MANCHESTER, England: Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berharap untuk meneruskan permulaan cemerlang apabila menanti kunjungan Burnley di Old Trafford hari ini, dengan peluang untuk beliau dilantik sebagai pengurus tetap kelihatan semakin cerah setiap minggu.

Kemenangan ke atas Arsenal pada perlawanan pusingan keempat Piala FA Jumaat lepas membolehkan rekod beliau kini memenangi lapan perlawanan berturut-turut sejak menggantikan tempat Jose Mourinho sebelum Krismas – satu pencapaian malah mengatasi pengurus legenda, Matt Busby pada permulaan karier di United.

Ketika ia kelihatan pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino masih menjadi pilihan terbaik sebagai pengurus tetap United, pencapaian Solskjaer dalam dan luar padang ketika ini menjadikan ia semakin cerah untuk beliau dilantik sebagai pengurus tetap.

Menamatkan musim di tangga keempat dan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan kelihatan sasaran yang sukar dicapai pada lewat tempoh Mourinho di kelab tetapi kemenangan ke atas Burnley akan membolehkan United berkongsi mata dengan pasukan di tangga keempat, Chelsea, untuk sekurang-kurangnya 24 jam.

Dan jika keputusan melibatkan Chelsea dan Arsenal memihak kepada Solskjaer – yang menentang lawan yang mahu bangkit dari kekalahan 0-5 kepada Manchester City dalam Piala FA – United mungkin menamatkan minggu dengan memburu tempat ketiga liga, yang ketika ini diisi oleh Spurs.

Semua ini adalah jauh dari tempoh di bawah kendalian Mourinho, dengan keputusan baru-baru ini banyak menunjukkan kemahiran pengurusan pemain Solskjaer, dan juga taktik serta falsafah bola sepak beliau.

Pada dua kemenangan paling memberangsangkan setakat ini – kemenangan liga di Spurs dan menewaskan Arsenal 3-1 dalam Piala FA – Solskjaer memilih formasi 4-3-3 tetapi ia adalah pilihan pemain yang menarik perhatian.

Penggunaan Nemanja Matic dan Ander Herrera di bahagian tengah membolehkan pemain tengah ketiga, pemenang Piala Dunia bersama Perancis, Paul Pogba, mengambil peranan lebih membantu serangan.

Kekangan yang dibuat oleh Mourinho telah dibuang dan Pogba, yang sering dilihat bertelagah dengan Mourinho, dilihat mendapat kelebihan besar berbanding pemain lain dalam pertukaran jurulatih.

Romelu Lukaku, yang kelihatan letih dan tidak berada di tahap kecergasan sepenuhnya pada beberapa perlawanan terakhir Mourinho, juga kelihatan sudah kembali bersemangat sejak Solskjaer kembali ke Old Trafford.

Menentang Arsenal, Solskjaer meletakkan Lukaku di posisi sayap di jentera serangan dengan Alexis Sanchez juga di bahagian sayap dan Jesse Lingard di posisi penyerang tengah.

Lukaku, yang sangat berbisa ketika di posisi sayap semasa beraksi untuk Everton dan juga Belgium, mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Arsenal.

Sanchez, yang dilihat kurang menyerlah sejak perpindahan ke United 12 bulan yang lalu, mempamerkan salah satu aksi terbaiknya untuk United, menjaringkan gol buat kali kedua musim ini dan yang kelima secara keseluruhannya sejak meninggalkan Arsenal.

Ketika menewaskan Spurs, Solskjaer menggunakan formasi yang sama tetapi pemain berbeza, dengan Marcus Rashford dan Anthony Martial menyokong Lingard dari posisi sayap.

Tiba-tiba, serangan United cukup berbisa berbanding tumpul dan kurang kreatif di bawah kendalian Mourinho.

Tetapi sumbangan terbesar Solskjaer kepada perubahan nasib kelab ialah falsafah bola sepak beliau dan permainan menyerang yang diterapkan semula di Old Trafford.

Kemenangan ke atas Arsenal mungkin mengembalikan era kegemilangan yang menyaksikan United begitu berbisa ketika melancarkan serangan pantas.

Tetapi selepas perlawanan, pemain United bersuara, seperti yang mereka lakukan sejak kehadiran Solskjaer, tentang kepentingan menyerang, menggerakkan bola secepat mungkin untuk melakukan serangan.

“Sejak hari pertama, beliau (Solskjaer) berkata kami mahu menjadi sebuah pasukan yang mengawal permainan tetapi kadang-kadang ia mustahil,” jelas Herrera selepas menewaskan Arsenal.

“Kadang-kadang kami harus bertahan tetapi apabila kami bertahan, kami tahu apa sahaja boleh berlaku dengan cepat kerana kami mempunyai ramai pemain serangan yang pantas.”

Sumber: Utusan Borneo