WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

NEYMAR ALAMI KECEDERAAN BAHARU DI TULANG TAPAK KAKINYA

Neymar, mengalami kecederaan baharu di tulang tapak kakinya, menurut kelab ketika PSG melangkah ke pusingan 16


Back To Sports Updates

Paris, Perancis: Penyerang sensasi Paris Saint Germain (PSG), Neymar, mengalami kecederaan baharu di tulang tapak kakinya, menurut kelab ketika PSG melangkah ke pusingan 16 akhir Piala Perancis selepas kemenangan 2-0 ke atas Strasbourg Rabu lepas.

Kecederaan retak tulang tapak kaki menamatkan musim Neymar pada tahun lepas dan kecederaan itu berulang tiga minggu menjelang perlawanan penting pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester United.

Keseriusan kecederaan baharu itu belum diketahui walaupun Neymar masih dapat berjalan ke tepi padang tanpa sokongan.

“Ujian awal yang dilakukan mendedahkan kesakitan yang sama pada tulang tapak kaki,” kata satu kenyataan kelab semalam.

“Rawatan akan bergantung kepada perkembangan dalam beberapa hari akan datang,” katanya sambil menambah semua pilihan perubatan akan dipertimbangkan.

Neymar pada awalnya cuba untuk kembali bermain tetapi beliau akhirnya mengalah kerana terlalu sakit dan terpaksa ditukarkan dengan Moussa Diaby selepas satu jam permainan.

Kecederaan itu membimbangkan PSG, dengan pemain paling mahal di dunia itu juga tidak dapat beraksi pada tiga bulan terakhir musim lepas kerana kecederaan yang sama.

Setiap musim PSG, yang menguasai liga domestik, dinilai dengan keputusan pada pertandingan Liga Juara-Juara.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel berkata selepas perlawanan: “Doktor risau, ‘Ney’ juga risau kerana ia kecederaan yang sama di kaki yang sama.”

“Ia satu situasi di mana beliau dikasari tiga kali tetapi pengadil tidak melakukan apa-apa.”

Beliau juga tidak gembira dengan cadangan dari pemain Strasbourg dan jurulatih di mana Neymar menyebabkan kecederaan dan membalas terjahan.

“Ia gaya Neymar, tetapi jangan datang dan mengadu apabila anda dikasari,” kata pemain Strasbourg, Anthony Goncalvez ketika memberitahu Eurosport.

“Beliau pemain yang hebat, saya menghormatinya. Beliau boleh menikmati dirinya sendiri tetapi jangan merungut selepas itu.”

Edinson Cavani dan Angel di Maria menjaringkan gol pada perlawanan di Parc des Princes.

Tuchel tidak menyenaraikan Kylian Mbappe untuk perlawanan ini, dengan Eric Maxim Choupo-Moting diturunkan dalam kesebelasan utama.

Sebelum sepak mula perlawanan, tepukan dan sorakan nama Emiliano Sala, bekas penyerang Nantes yang dikhuatiri maut selepas pesawat ringan dinaikinya terhempas di Kepulauan Channel Isnin lepas ketika dalam perjalanan ke kelab baharu, Cardiff City.

Perlawanan pusingan ketiga melibatkan Nantes – menentang kelab divisyen tiga, Entente Sannois Saint-Gratien telah ditangguhkan sehingga Ahad ini, dengan pemain mereka masih terkejut dengan tragedi menimpa Sala.

Pada perlawanan lain, Caen menamatkan pengembaraan kelab amatur dari divisyen enam, Viry-Chatillon 6-0 sementara Dijon menewaskan Saint Etienne 6-3 menerusi hatrik Naim Sliti untuk kemenangan kelab di bawah kendalian Antoine Kombouare.

Rennes juga meneruskan kemaraan selepas menewaskan kelab divisyen empat, Saint-Pryve 2-0.

Sumber: Utusan Borneo