WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST

06.00am - 10.00am

'JIWA CHONG WEI KENTAL'

Datuk Lee Chong Wei pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, semalam


Back To Sports Updates

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah menjangkakan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak akan mengumumkan persaraan beliau selepas pulih daripada kanser hidung.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata setelah 18 tahun terlibat dalam arena badminton, Chong Wei tidak akan mudah berputus asa kerana bekas pemain nombor satu dunia itu masih mempunyai impian yang belum tercapai pada Sukan Olimpik.

Mohamad Norza berkata Chong Wei yang sudah melalui pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang kariernya sebagai pemain badminton, kini melalui fasa pemulihan kanser yang positif.

“Semangat beliau begitu tinggi, dia mampu ceritakan mengenai proses rawatan yang sukar. Kita boleh lihat pemikiran beliau yang sentiasa positif walaupun terpaksa mengharungi kepayahan sepanjang tempoh rawatan. Akhirnya beliau telah atasi detik getir itu.

“Chong Wei sendiri tahu beliau perlu bermula dari awal (latihan) dan BAM juga tidak mahu beri tekanan kepadanya. Dia perlu tahu mengenai tahap ketahanan dan kecergasan fizikalnya ketika ini sebelum memulakan latihan,” katanya selepas sidang media khas oleh Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini semalam.

Mohamad Norza berkata, pemain yang kini bebas kanser hidung itu akan memulakan sesi latihan bersama jurulatih, Hendrawan sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada pakar perubatan untuk menjalankan latihan lebih intensif.

Sebagai langkah awal, BAM akan membincangkan mengenai keperluan Chong Wei dalam persiapan pemain itu ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Chong Wei yang merupakan pemenang pingat perak tiga kali di Sukan Olimpik menyasarkan pingat emas pada edisi akan datang.

Pemain berusia 36 tahun itu mengesahkan dirinya bebas kanser dan berada dalam keadaan ketahanan imunisasi yang stabil selepas menjalani rawatan selama empat bulan di Taiwan.

Sumber: Bernama