WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

CHONG WEI BUKA MULUT KHAMIS INI

Chong Wei berkemungkinan besar terpaksa menamatkan kerjaya sebagai pemain badminton selepas menerima nasihat pakar perubatan dari Taiwan


Back To Sports Updates

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengadakan sidang media khas berikutan tahap kesihatan dan hala tuju kerjaya jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sidang media khas itu akan diadakan di Ibu Pejabat Bam di Kuala Lumpur, Khamis ini.

“Dalam beberapa hari lagi, berkemungkinan Chong Wei akan buat kenyataan akhbar dan ia ditunggu selama ini oleh peminat (sukan) badminton negara.

“Saya percaya Chong Wei akan buat kenyataan dan memberikan kita khabar gembira selepas beliau menjalani rawatan kanser sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Badminton Victor Antarabangsa Siri 2018 yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Georgetown, hari ini.

Sebelum ini, wujud desas-desus Chong Wei berkemungkinan besar terpaksa menamatkan kerjaya sebagai pemain badminton selepas menerima nasihat pakar perubatan dari Taiwan ketika menjalani rawatan pemulihan kanser hidung dihidapinya.

Ditanya sama ada Chong Wei akan bersara, Mohamad Norza berkata, BAM memberi kebebasan sepenuhnya kepada pemain berusia 36 tahun itu untuk memuktamadkan keputusan berkenaan.

“Kita serahkan kepada Chong Wei untuk membuat apa saja kenyataan dan kita akan sentiasa memberi sokongan kepadanya, jika beliau ingin meneruskan kariernya.

“Chong Wei adalah hero kami, sama ada di dalam atau di luar gelanggang dan beliau sentiasa mempamerkan semangat juang yang tinggi, walaupun ada turun naik sepanjang kerjayanya. Ia mesti dijadikan ikutan kepada generasi muda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza menyifatkan kesediaan kerajaan negeri berbincang untuk mewujudkan akademi badminton di Pulau Pinang sebagai tindakan positif dalam usaha mencari pelapis baharu.

“Kita mahu melebarkan proses pencarian bakat baharu, bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur. Kon Yeow adalah Ketua Menteri pertama yang menyahut seruan ini dan berharap ia boleh digunakan bagi semua negeri di zon Utara.

“Sebagai tuan rumah, sudah semestinya Pulau Pinang akan menerima banyak manfaat dan kemudahan yang lebih dalam menjayakan proses pencarian bakat baharu untuk menjadi pelapis pemain badminton negara,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA) dan BAM dalam mewujudkan akademi badminton di negeri itu serta menunggu kertas cadangan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian