WHAT'S NEXT

ANTAP MUSIC

12.00am - 02.00am

SALAH MENYERLAH, LIVERPOOL BENAMKAN AS ROMA 5-2

Salah meledak dua gol pada babak pertama permainan


Back To Sports Updates

Jurgen Klopp mengakui dia berdepan kritikan berikutan mengeluarkan Mohamed Salah selepas Liverpool membenam AS Roma 5-2 dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Salah meledak dua gol pada babak pertama kemudian membuat umpanan kepada Sadio Mane dan Roberto Firmino (dua gol) selepas rehat untuk Liverpool mendahului selesa 5-0 ke atas wakil Serie A itu di Anfield, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Klopp memilih untuk merehatkan Salah lalu digantikan dengan Danny Ings pada baki 15 minit, tindakan itu mencetuskan kebangkitan Roma yang menyaksikan Edin Dzeko dan Diego Perotti merapatkan jurang.

Meskipun Roma membawa pulang defisit tiga gol, Klopp mahu menjadikan nasib Barcelona sebagai contoh sambil menjelaskan tidak bersedia untuk menanggung kecederaan Salah serta Alex Oxlade-Chamberlain yang turut mengalami kecederaan lutut pada babak pertama yang mungkin mengakhiri musimnya.

"Cemerlang, sukar untuk menyekatnya," kata Klopp dalam sidang media.

"Cara kami bermain selepas 15 minit pertama selain disesuaikan dengan permainan mereka, kami bermain seperti yang kami dihajati, Salah memberi kesan besar.

"Saya gembira dengan pemain lain namun jaringan pertama adalah genius. Dia menjaringkan beberapa gol seperti ini, bahkan ia lebih istimewa lagi kerana ia bukan kebetulan.

"Gol kedua pula hasil permainan cemerlang.

"Jadi, jika sesiapa mahu mengatakan ia adalah kesilapan saya, kami dibolosi dua gol kerana saya mengeluarkan penyerang, saya tidak mempunyai masalah dengan itu.

"Saya tidak fikir kami membuat hantaran dengan baik selepas (penggantian). Mo menggerakan pasukan dan kami tidak mahu dia cedera."

Walaupun dinobat sebagai Pemain Terbaik PFA tahun ini, Klopp berhenti sejenak berikutan dakwaan bahawa Salah telah membayangi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo musim ini.

"Pemain yang hebat, anda sentiasa mencari bahan cerita," kata Klopp. "Jika anda fikir dia adalah yang terbaik di dunia, tulislah atau apa jua sahaja bahawa dia cemerlang dan berkelas dunia, 100 peratus.

"Untuk menjadi yang terbaik di dunia, anda mesti melakukannya dalam tempoh yang panjang dan ada pemain lain yang tidak beraksi baik. Dia hebat dan saya sangat gembira memilikinya."

Sumber: AWANI