• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

CATS PREBIU

01.00pm - 02.00pm

HEBAT CHONG WEI!

Datuk Lee Chong Wei menyumbang emas keenam negara hari ini dalam temasya Sukan Komanwel 2018 Gold Coast


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang menyumbangkan pingat emas dalam final acara perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel 2018 pada Ahad.

“Hebat Dato' @LeeChongWei, memang luar biasa! Setiap hayunan raket tadi membawa bersama semangat 30 juta rakyat Malaysia! Tahniah emas ke-6 Malaysia di #GC2018,” kata perdana menteri dalam laman Twitternya.

Dalam perlawanan di Carrara Sports and Leisure Centre, Gold Coast, Chong Wei menewaskan pemain nombor satu dunia, K. Srikanth dari India 19-21, 21-14, 21-14.

Sementara itu, Chong Wei menyifatkan kejayaan itu sebagai satu kemenangan terindah buat dirinya memandangkan temasya kali ini adalah penampilan terakhir beliau.

Malah, beliau juga muncul antara atlet terbaik Malaysia pada temasya empat tahun sekali itu dengan lima pingat emas, menyamai rekod pemain beregu lelaki negara Koo Kien Keat.

“Ini satu kemenangan dan kenangan terindah buat saya, menang pingat emas di Sukan Komanwel terakhir saya. Memang saya tidak sangka dapat kemenangan hari ini kerana dalam perlawanan pertama saya sudah kalah. Tapi saya kata pada diri untuk terus buat ‘come back' pada perlawanan kedua.

“Saya masuk gelanggang tidak fikir banyak... ini Komanwel terakhir saya dan saya cuma hendak buat yang terbaik,” katanya.

Dalam pertembungan final perseorangan lelaki pada Ahad, Carrara Sports and Leisure Centre bergema dengan sorakan penyokong India dan Malaysia.

“Menang set kedua, saya dapat semula keyakinan dan set ketiga saya cuba ikut kelajuan Srikanth dan boleh lebih cepat. Masa saya mendahului 5-0, saya yakin sebab tengok dia cuba ubah perlawanan dan buat kesalahan kecil.

“Penat memang penat. Bukan senang untuk saya bertanding hari ini tapi saya sudah bersedia untuk perlawanan yang sengit,” katanya.

Sumber: mStar