WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

AALIYAH YOONG KETUAI CABARAN MALAYSIA PADA KEJOHANAN PRA SUKAN SEA

Aaliyah Yoong Hanifah akan mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Ski Air dan Papan Luncur Pra Sukan SEA


Back To Sports Updates

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, Aaliyah Yoong Hanifah akan mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Ski Air dan Papan Luncur Pra Sukan SEA yang akan diadakan di Presint 6, Putrajaya, hujung minggu ini.

Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak 60 peserta telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu dan beberapa negara ASEAN yang lain juga akan menghantar atlet terbaik masing-masing ke kejohanan dua hari itu.

"Indonesia akan dikepalai oleh juara Sukan SEA 2015 Singapura, Ade Hermana yang memenangi jump lelaki, Ians Febrianto yang meraih dua emas dalam acara tricks lelaki dan keseluruhan lelaki serta Rossi Amir yang memenangi acara jump wanita," kata kenyataan itu.

MWWF berkata Singapura akan diketuai oleh Sasha Christian, juara acara slalom wanita Sukan SEA 2015, serta Mark Leong yang merangkul emas dalam acara slalom lelaki pada 2015.

Thailand menghantar skuad papan luncur terkuat diketuai oleh juara papan luncur lelaki, Padiwat Jaemjan (the Bomb) sementara Filipina mengesahkan menghantar juara papan luncur kebangsaan dan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015, Mark Griffin, kata kenyataan itu.

MWWF berkata, semua negara Sukan SEA yang mengambil bahagian dalam kejohanan berpeluang untuk menimba pengalaman menggunakan kemudahan baharu pada Sukan SEA seperti bot Nautique 6.2 liter dengan 410hp, jump ramp baharu dari Amerika Syarikat dan litar baharu slalom.

Ia berkata Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc) selaku penaja kejohanan, akan menggunakan kejohanan itu untuk melatih sukarelawan dan juga pegawai teknikal kebangsaan bagi memastikan acara ski air dan papan luncur berjalan lancar semasa Sukan SEA bulan depan.

Semua pasukan kebangsaan ski air dan papan luncur Sukan SEA dari tiga negara - Indonesia, Singapura dan Malaysia - akan beraksi dalam kedua-dua acara sementara Filipina dan Thailand akan mengambil bahagian hanya dalam acara papan luncur.

Pusingan awal kejohanan itu akan berlangsung pada Sabtu dari 8 pagi hingga 3.30 petang sebelum acara final pada masa yang sama pada Ahad.

- Sumber dari Bernama