WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

LEE CHONG WEI JUARA SELURUH ENGLAND

PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menambah koleksi kejuaraan Kejohanan Badminton All England buat kali keempat


Back To Sports Updates

PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menambah koleksi kejuaraan Kejohanan Badminton All England buat kali keempat di Barclaycard Arena, Birmingham, sebentar tadi.

Jaguh perseorangan negara itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain muda dari China, Shi Yuqi dengan 21-12, 21-10 dalam masa 45 minit.

Namun, pujian juga perlu diberikan kepada Shi apabila tetap meneruskan permainan biarpun mengalami kecederaan buku lali kanan ketika ketinggalan 10-18 pada set kedua.

Setelah berehat hampir tiga bulan dan mengalami kecederaan lutut bulan lepas, Chong Wei membuka tirai tahun ini dengan penuh bergaya apabila menjuarai kejohanan berprestij itu.

Penyokong Malaysia dan tempatan juga tidak putus-putus memberi sokongan  kepada Chong Wei sehingga tamat perlawanan.

Lee Chong Wei Juara Seluruh England

“Terima kasih kepada semua peminat, ini kali pertama saya melihat begitu ramai orang (penyokong) di final. All England adalah kejohanan kegemaran saya.

Ya (saya mahu beraksi di All England tahun depan),” kata Chong Wei selepas tamat perlawanan menerusi siaran langsung oleh Astro Supersport malam ini.

Sepanjang 18 tahun karier Chong Wei dalam arena badminton, beliau sebelum ini memenangi Kejuaraan All England pada 2011, 2012 dan 2014.

Chong Wei sebelum ini, pernah menyuarakan hasratnya kemungkinan beraksi di All England buat kali terakhir pada tahun ini.

 

Sumber:– BERNAMA