WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

PIALA FA: MANCHESTER UNITED KE FINAL SINGKIR COVENTRY

Harry Maguire meraikan jaringan gol yang dilakukan ke atas Coventry sebentar tadi


Back To Sports Updates

LONDON - Pasukan Manchester United terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum mengesahkan kemaraan ke pentas final Piala FA dengan menewaskan Coventry menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas terikat 3-3 sebentar tadi.

Pada aksi separuh akhir di Stadium Wembley itu, skuad The Red Devils kendalian Erik Ten Hag membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain utama seperti Marcus Rashford, Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes mengetuai jentera serangan.

United tidak mempunyai masalah untuk mendahului seawal minit ke-23 hasil ledakan pemain tengah, Scott McTominay.

Gol tersebut menaikkan semangat United untuk terus menggandakan asakan dan berjaya meledak gol kedua menerusi tandukan pemain pertahanan, Harry Maguire pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, United terus unggul dengan Fernandes melebarkan kelebihan menjadi 3-0 hasil jaringan menarik pada minit ke-58.

Namun, detik cemas United bermula pada 20 minit terakhir perlawanan apabila kelab Liga Kejuaraan itu mempamerkan kebangkitan dramatik untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Gol-gol Conventry dijaringkan oleh Ellis Simms pada minit ke-71 dan Callum O’Hare pada minit ke-79.

Pemain sensasi The Sky Blues, Haji Wright menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti sebelum wisel penamat ditiupkan.

Pada masa tambahan, kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang keemasan dengan rembatan deras Fernandes sekadar menggegarkan palang gol.

Coventry dilihat hampir mencipta sejarah apabila pemain gantian, Victor Torp menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas pada minit ke-120 tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Aksi terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dengan semua pemain United berjaya menjaringkan gol kecuali Casemiro.

Sementara itu, dua pemain Coventry, Ben Sheaf dan O’Hare turut gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menyaksikan United mara ke final dengan keputusan 4-2.

The Red Devils dijadualkan bertemu seteru setempat, Manchester City pada aksi final Piala FA di Stadium Wembley bulan depan.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini