WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND BEAT

04.00pm - 08.00pm

PECAT TEN HAG TAK SELESAI MASALAH MAN. UNITED

Rashford menjadi punca kekalahan United selepas dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama menentang Copenhagen awal pagi tadi - AFP


Back To Sports Updates

COPENHAGEN – Legenda Manchester United, Paul Scholes tidak merasakan bekas kelabnya itu perlu memecat Erik ten Hag susulan prestasi buruk terutama tewas mengejut 3-4 kepada Copenhagen di Stadium Parken awal pagi tadi.

The Red Devils bermula garang dengan mendahului dua gol tetapi kad merah Marcus Rashford selepas itu menyebabkan mereka tersungkur 3-4 kepada jaguh Denmark itu dalam aksi keempat Kumpulan A Liga Juara-Juara.

Ia adalah kekalahan kesembilan United daripada 17 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini, sekali gus menyebabkan nama Ten Hag, 53, disebut-sebut bakal dipecat tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Scholes, 48, percaya United tidak sanggup berbuat demikian kerana ia boleh meninggalkan impak kepada aspek kewangan apabila difahamkan mereka perlu membayar £15 juta (RM86.30 juta) jika Ten Hag dipecat.

“Saya tidak merasakan Ten Hag dalam keadaan tertekan. Beliau mengharungi musim yang hebat musim lalu dan memberikan sedikit masa kepada pasukan.

“Malangnya sembilan kekalahan daripada 17 perlawanan adalah sesuatu yang tidak bagus buat pasukan.

“Saya tahu pengurus boleh dipecat pada tahun kedua atau ketiga tetapi saya tak merasakan kami (United) sanggup untuk melaluinya lagi,” kata Scholes yang pernah membuat 718 penampilan bersama United.

United mendahului dua gol menerusi Rasmus Hojlund pada minit ketiga dan 28, namun kad merah Rashford tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat telah mengubah segala-galanya.

Ia membuka peluang buat tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan 2-2 di penghujung separuh masa pertama itu menerusi Mohamed Elyounoussi dan sepakan penalti Diogo Goncalves.

Bruno Fernandes meletakkan United di hadapan pada minit ke-69 tetapi sekali lagi ia tidak kekal lama apabila Copenhagen bangkit memenangi perlawanan dengan dua gol pantas dalam tempoh empat minit.

Dua gol itu diperoleh menerusi Lukas Lerager dan Roony Bardghji masing-masing pada minit ke-83 serta 87, sekali gus melonjakkan Copenhagen ke tangga kedua, manakala United jatuh ke tempat tercorot Kumpulan A.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini