WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

REKOD 12 TAHUN LONTAR PELURU LEBUR DI MOKPO, KOREA SELATAN

Jonah memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak dua kali acara lontar peluru pada Kejohanan Balingan Asia di Mokpo City, Korea Selatan semalam


Back To Sports Updates

ATLET lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan memperbaharui rekod lontar peluru kebangsaan yang bertahan 12 tahun selepas melakukan catatan 17.67 meter (m) pada Kejohanan Balingan Asia di Mokpo City, Korea Selatan semalam.

Lebih membanggakan, anak kelahiran Sarawak itu memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak dua kali apabila melakukan balingan 17.64m pada percubaan pertama sebelum sekali lagi meleburkannya menerusi lontaran terakhir dengan 17.67m.

Meskipun menampilkan aksi cukup meyakinkan pada kejohanan itu, namun Jonah mengakui langsung tidak meletakkan harapan untuk memperbaharui rekod kebangsaan, apatah lagi meleburkannya dua kali.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Secara jujur, saya langsung tidak menjangka dapat memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali pada hari ini (semalam),” katanya yang menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Terdahulu, rekod lontar peluru kebangsaan sebelum ini dipegang Adi Alifuddin Hussin yang melakukannya ketika menyertai temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia selepas melakukan balingan sejauh 17.54m.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard menyatakan penghargaan terhadap pencapaian yang dilakukan atlet berusia 20 tahun berkenaan pada kejohanan tersebut.

“Rekod kebangsaan baharu untuk Jonah Chang Rigan yang baru berusia 20 tahun menerusi catatan 17.67m di Kejohanan Balingan Asia.

Tahniah kepada Jonah, jurulatih (Frantisek Petrovik), KOM, MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara),” ujarnya.

Sementara itu, pingat emas bagi acara tersebut dimenangi atlet China, Zhang Haochen yang melakukan balingan 19.21m, diikuti Jason Atuobeng (18.56m) dengan perak manakala gangsa menjadi milik Ivan Ivanov dari Kazakhstan (18.29m).

Sumber: Kosmo Online!
Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini