WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND BEAT

04.00pm - 08.00pm

BECKHAM DUTA MAN UNITED JIKA SHEIKH JASSIM AMBIL ALIH

Bekas pemain Manchester United, David Beckham (kanan) mempunyai hubungan baik dengan Sheikh Jassim bin Hamad Al-Thani (kiri). - Foto AGENSI


Back To Sports Updates

MANCHESTER: David Beckham dilaporkan bakal memainkan peranan sebagai duta di Manchester United, sekiranya Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani berjaya mengambil alih kelab berkenaan.

Pemilik United, keluarga Glazer mahu menjual kelab itu sejak 11 bulan lalu, tetapi beberapa bidaan daripada Jassim dan Jim Ratcliffe tidak menepati permintaan mereka.

Beckham mahukan kestabilan di United dan bekas kapten England itu berkata dia mengenali orang yang tepat untuk membeli bekas kelabnya itu.

"Kami salah satu, jika bukan kelab terbesar di dunia. Kami mahukan kestabilan. Saya rasa itu yang paling penting.

"Kita semua mempunyai pilihan tersendiri berkenaan siapa yang paling layak menguruskan dan menjaga kelab ini untuk mengembalikannya ke tempat sepatutnya.

"Di mata kami, di mata peminat, kami adalah nombor satu. Kami mahu kembali berada di atas dan saya percaya saya kenal orang yang betul yang mampu melakukannya, jadi kita lihat saja nanti," kata Beckham.

Tahun lalu, Beckham dikritik kerana bersetuju menjadi duta untuk Piala Dunia 2022 di Qatar.

Bekas pemain berusia 48 tahun itu, yang memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris bersama United, dibayar 10 juta pound (RM57.9 juta) untuk tugas berkenaan.

United mengharungi permulaan musim yang sukar, tewas empat kali dalam lapan aksi Liga Perdana Inggeris setakat ini dan kalah dalam kedua-dua aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Beckham bagaimanapun meminta penyokong bersabar dengan situasi sekarang kerana ia bukan mudah buat pengendali, Erik ten Hag berdasarkan keadaan kelab sekarang.

"Kita tunggu saja, dia seorang jurulatih yang bagus. Keadaan sukar buat masa sekarang, ia tidak mudah baginya.

"Kita semua mahu keputusan dibuat untuk kelab, untuk peminat, untuk pemain dan juga pengendali," katanya.

Sumber: Berita Harian

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini