• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

MISI ATLET 'LUAR BIASA' ATASI REKOD RIO MULAI ESOK

Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan menyahut cabaran mengibar Jalur Gemilang dalam sembilan jenis sukan disertai kontinjen negara


Back To Sports Updates

Tokyo: Lima tahun lalu, tiga atlet olahraga para Malaysia berjaya melakar sejarah apabila membawa pulang tiga emas di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ia adalah kali pertama Malaysia merasai kilauan emas sejak mula menyertai temasya berprestij itu pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman, sekali gus pencapaian tiga emas dan sebutir gangsa itu menjadi pencapaian terbaik bagi kontinjen negara.

Tiga wira - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly dalam lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) ternyata unggul dalam acara masing-masing.

Sekali gus membuka mata peminat sukan negara mengenai keupayaan atlet luar biasa ini untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat global.

Rentetan daripada kejayaan manis diraih mereka bertiga di Brazil, kem paralimpik kebangsaan terus mencatat kejayaan membanggakan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, dengan atlet dari sukan lain juga mahu membuktikan mereka berpotensi pingat emas di bumi negara matahari terbit ini.

Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan menyahut cabaran mengibar Jalur Gemilang dalam sembilan jenis sukan disertai kontinjen negara.

Mohamad Ridzuan, Muhammad Ziyad, dan Abdul Latif sudah semestinya akan berjuang habis-habisan bagi mempertahankan emas mereka, namun kelibat tiga lagi atlet iaitu Bonnie Bunyau Gustin dari powerlifitng, S. Suresh (memanah) dan Cheah Liek Hou (badminton) harus diberi tumpuan pada temasya kali ini.

Turun dengan reputasi selaku pemegang rekod dan juara dunia bagi kategori lelaki atas 72 kilogram (kg), Bonnie dilihat antara pencabar utama untuk merangkul emas manakala Suresh yang juga juara memanah para dunia 2019 di Belanda turut berupaya menghasilkan kilauan emas buat negara dalam acara lelaki terbuka recurve nanti.

Liek Hou yang bersaing dalam acara perseorangan lelaki kategori SU5 pula berpeluang merakam sejarah menjadi antara pemain badminton para terawal yang meraih pingat apabila sukan berkenaan akan membuat penampilan sulung dalam temasya kali ini.

Juara dunia enam kali yang mendapat sentuhan pemenang gangsa perseorangan lelaki Olimpik Atlanta 1996, Datuk Rashid Sidek, tidak mustahil meraih satu lagi pencapaian cemerlang di Tokyo sekiranya berjaya mengekalkan prestasi dilakar ketika muncul juara dua kejohanan badminton di Sepanyol pada Mei dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), April lalu.

Setelah berhempas pulas berkorban masa, keringat dan tenaga demi negara tercinta sepanjang lima tahun lalu, cabaran barisan atlet lain juga tidak boleh dipandang ringan malah kejutan mungkin boleh berlaku daripada mereka.

Sandaran pingat skuad berbasikal pastinya diletakkan kepada pemenang gangsa perlumbaan 15km scratch lelaki C1 di Kejohanan Berbasikal-Para Trek Dunia UCI 2020 di Kanada iaitu Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang bersaing bagi acara 3,000 meter, pecut berpasukan, individu ujian masa dan lebuh raya.

Pelumba lain yang melengkapkan cabaran skuad berbasikal negara di Tokyo adalah pemenang emas perlumbaan lebuh raya kategori C5 Sukan Para Asia 2018 Zuhairie Ahmad Tarmizi, Muhammad Hafiz Jamali dalam acara 1000m ujian masa C5 serta gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan jurumudinya, Nurul Suhada Zainal dalam lebuh raya dan ujian masa kategori B.

Sementara itu, satu-satunya wakil tunggal wanita olahraga para Siti Nooriasah Mohamad Ariffin yang akan beraksi dalam acara 400m T20, Jong Yee Khie (powerlifting) dan Abu Samah Borhan (tenis kerusi roda) berpeluang memperbaiki prestasi mereka dalam penampilan kedua di Sukan Paralimpik selepas tidak berjaya meraih kedudukan podium di Rio 2016.

Barisan atlet lain yang akan mewarnai saingan di Jepun adalah Wong Kar Gee (lompat jauh T13); Didin Taresoh (badminton SH6); Chew Wei Lun (boccia BC1); Chee Chao Ming (ping pong T9); Wiro Julin (memanah) dan tiga atlet renang para iaitu Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Jamery Siga bagi kategori S5 serta Brenda Anellia Larry (S4).

Sama seperti Sukan Olimpik yang telah melabuhkan tirai pada 8 Ogos lepas, penganjuran Sukan Paralimpik kali ini tetap diteruskan walaupun diselubungi ancaman pandemik Covid-19 yang masih lagi melanda Jepun dan seluruh dunia.

Malah, Jepun mengumumkan untuk melanjutkan darurat di Tokyo sehingga 12 September ini selepas bilangan kes Covid-19 dilihat masih tinggi dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut dengan secepat mungkin.

Menjelang pembukaan rasmi malam esok dijadual jam 8 malam (7 petang waktu Malaysia) di Stadium Olimpik, kemeriahan pastinya kurang dirasai di venue sukan apabila tuan rumah memutuskan untuk meneruskan temasya Paralimpik tanpa kehadiran penonton sama seperti Olimpik baru-baru ini, bagi mengekang penularan Covid-19 di kota raya metropolitan terbesar dunia itu.

Sumber: BERNAMA
Foto File NSTP