WHAT'S NEXT

CATS 30

10.00am - 01.00pm

'MACAM YANG PERTAMA' - IBRAHIMOVIC

Zlatan Ibrahimovic berkata dia berasa seperti pertama kali tampil bersama Sweden tatkala membantu menghasilkan gol penting pada kemunculan pertama


Back To Sports Updates

Stockholm: Zlatan Ibrahimovic berkata dia berasa seperti pertama kali tampil bersama Sweden tatkala membantu menghasilkan gol penting pada kemunculan pertama antarabangsa dalam tempoh hampir lima tahun dengan kemenangan 1-0 ke atas Georgia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022, pagi ini.

Ibrahimovic, 39, beraksi pada perlawanan terakhir bersama Sweden di Euro 2016 sebelum kembali menyarung jersi kuning negaranya buat 117 kali pada aksi pembukaan Kumpulan B.

Dia melorongkan bola kepada Viktor Claesson pada babak pertama untuk memulakan kempen dengan kemenangan dalam peringkat kumpulan yang turut membabitkan Sepanyol, Greece dan Kosovo yang bakal ditentang awal pagi Isnin ini.

"Terasa sangat bagus. Ia rasa seperti perlawanan pertama antarabangsa saya. Ia terlalu banyak adrenalin," kata Ibrahimovic kepada Sverige Radio.

"Saya fikir saya boleh melakukan lebih banyak lagi. Tapi kami memenangi perlawanan itu, dan ia adalah perkara paling penting," katanya.

Pemegang rekod jaringan Sweden itu membentuk gandingan baharu di jentera serangan dengan pemain berusia 21 tahun, Alexander Isak.

Bekas pertahanan Perancis, Willy Sagnol mengambil alih tugas pengendali bagi skuad pelawat buat pertama kali dan hanya empat pemain dikekalkan dalam pasukan yang seri berdepan Estonia pada November lalu.

Tuan rumah menguasai setengah jam aksi pembukaan di Stockholm dan hampir memecah kebuntuan selepas 25 minit permainan.

Pemain sayap, Claesson melakukan umpanan kepada Isak di dalam kawasan kotak penalti tetapi cubaan lemah penyerang Real Sociedad itu berjaya dinafikan Giorgi Loria.

Detik magis pada babak pertama Ibrahimovic hadir 10 minit kemudian. Dia menahan bola dengan dada sebelum melakukan gerakan mengumpan bola kepada Claesson yang merembat gol menjadikan kedudukan 1-0 yang juga gol keduanya bagi perlawanan antarabangsa.

Bintang AC Milan, Ibrahimovic berpeluang menambah 62 gol jaringannya bagi skuad negaranya enam minit sebelum rehat namun rembatannya tersasar melepasi palang gol.

Sweden akan berkunjung ke Kosovo awal pagi Isnin sementara Georgia berdepan Sepanyol pada hari yang sama.

Sumber: Harian Metro
Foto AFP