WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

LIVERPOOL PERLU TEWASKAN LEIPZIG

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp perlu mengatasi cabaran akibat keletihan ketika skuadnya akan bersaing dalam Liga Juara-Juara minggu ini


Back To Sports Updates

LONDON: Liverpool sangat memerlukan kemenangan dalam Liga Juara-Juara untuk menyelamatkan musim mereka namun skuad kendalian Jurgen Klopp tampak kurang keyakinan dan menunjukkan keletihan fizikal dan mental ketika RB Leipzig akan menjadi lawan sempurna buat mereka pada kelompok 16 terakhir.

Dilarang memasuki Jerman kerana sekatan COVID-19, juara England itu akan ke Budapest bagi saingan pertama awal pagi Rabu ini selepas tiga kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir semua kejohanan.

Catatan itu menamatkan usaha mereka mencari gelaran liga atau merangkul Piala FA menjadikan Liga Juara-Juara sebagai landasan tunggal mencipta keagungan buat Liverpool musim ini.

Bagaimanapun masih kurang rasa percaya skuad berkenaan akan berubah selepas dilanda kecederaan sepanjang musim dan sangat perlukan peningkatan.

Kehilangan tiga pertahanan tengah – Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip – yang terus menamatkan musim memberikan impak besar buat Liverpool yang memaksa pemain tengah, Fabinho dan Jordan Henderson mengisi kekosongan di pertahanan.

Tanpa mereka, Liverpool hilang kawalan di bahagian tengah kerana sebelum ini Van Dijk dan Gomez kerap bermain lebih ke depan.

Menambah buruk keadaan, penjaga gol Alisson Becker, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab sejak dua musim lalu, melakukan banyak kesilapan ketika melepaskan tujuh gol berdepan Manchester City dan Leicester dalam dua perlawanan terakhir.

Kecederaan juga bermakna kesebelasan utama terdiri daripada Alisson, Trent Alexander-Arnold, Andy Robertson, Henderson, Fabinho, Georginio Wijnaldum, Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah perlu membawa beban yang sangat padat musim ini.

Selepas empat tahun Klopp melaksanakan kaedah menjimatkan tenaga dalam gaya bola sepak menyerang, tenaga simpanan Liverpool tampak sudah semakin kering.

"Apabila anda melihat peratus minit perlawanan Liga Perdana dilangsungkan sejak Ogos 2018, inilah pasukan yang bermain baik untuk tiga tahun dan menghasilkan saat yang hebat, trofi buat kelab," kata bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher.

"Ini bukan berkaitan kelakuan. Ini bukan pasukan yang memikirkan, 'Kami sudah menang liga, kami sudah melakukannya'. Mereka tidak berhenti sejak tiga tahun lalu."

Sumber: Berita Harian
Foto EPA