WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

PEMAIN LETIH MENTAL, FIZIKAL - KLOPP

Misi Liverpool mempertahankan gelaran Liga Perdana semakin sukar selepas tewas 0-1 kepada Brighton di Anfield


Back To Sports Updates

London: Misi Liverpool mempertahankan gelaran Liga Perdana semakin sukar selepas tewas 0-1 kepada Brighton di Anfield manakala Manchester City melonjak tiga mata di puncak dengan kemenangan 2-0 ke atas Burnley awal pagi tadi.

Skuad Jurgen Klopp membayar harga mahal akibat persembahan hambar apabila jaringan Steven Alzate pada babak kedua memberikan kejayaan manis Brighton ke atas juara yang bergelut dengan kecederaan.

Kemenangan pertama di tempat lawan berdepan Liverpool adalah yang pertama sejak 1982 dan jaringan diperolehi pada minit ke-56 apabila bola hantaran tandukan Dan Burn disambut dengan tolakan mudah Alzate.

Liverpool jatuh ke tempat keempat dan ketinggalan tujuh mata di belakang City dan pendahulu liga itu berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Kekalahan The Reds meletakkan mereka tiada pilihan kecuali meraih tiga mata apabila menerima kunjungan City yang berada di kemuncak prestasi pada Ahad ini.

Skuad Klopp tampak kembali ke prestasi sebenar selepas kemenangan ke atas Tottenham dan West Ham minggu lalu tetapi Liverpool kini tewas dua aksi liga berturut-turut di tempat sendiri sejak 2012 dan tidak menang di Anfield dalam empat percubaan.

"Minggu yang sangat sukar, dua aksi di tempat lawan yang sangat sengit dan malam ini kami seperti tidak cukup segar dari segi mental dan fizikal,'' kata Klopp.

"Banyak kali kami terlepas bola dengan mudah dan mental pemain kelihatan letih. Kami tidak nampak menyakinkan. Kami membuat banyak pertukaran dan kemudiannya tiada rentak, jadi ia menjadi masalah.''

Skuad Pep Guardiola menyaksikan Manchester United menyamakan kedudukan mata semalam selepas membelasah Southampton 9-0 tetapi City mempamerkan kesungguhan untuk terus berada di puncak menerusi aksi mantap di Turf Moor.

Gabriel Jesus membuka tirai jaringan hasil kesilapan penjaga gol Burnley, Nick Pope dan Raheem Sterling meledak gol kedua sebelum rehat.

Kunjungan City ke Anfield pada Ahad ini membawa bersama rekod kemenangan 13 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan termasuk sembilan dalam aksi liga.

Dalam perlawanan lain, Leicester menewaskan Fulham 2-0 hasil jaringan Kelechi Iheanacho dan James Justin untuk kemenangan kelapan daripada 11 perlawanan di tempat lawan.

Jesse Lingard meledak dua jaringan ketika West Ham menang 3-1 di Aston Villa manakala Everton mengatasi cabaran Leeds 2-1 di tempat lawan.

Sumber: Harian Metro
Foto AFP