WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

SOLSKJAER BERI AMARAN UNITED PERLU LEBIH TAJAM DI OLD TRAFFORD SELEPAS TEWASKAN THE BLADES

OLE Gunnar Solskjaer memberikan amaran bahawa Manchester United perlu lebih tajam di Old Trafford


Back To Sports Updates

Ole Gunnar Solskjaer memberikan amaran bahawa Manchester United perlu lebih tajam di Old Trafford selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sheffield United 3-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Bramall Lane awal pagi tadi.

Kesilapan awal penjaga gol, Dean Henderson, menghadiahkan The Blades, pasukan di tangga tercorot dengan hanya satu mata, gol pendahuluan hasil sentuhan David McGoldrick.

Bagaimanapun, skuad The Red Devils itu melonjak ke tangga keenam hasil jaringan berganda Marcus Rashford, yang mengapit gol pertama Anthony Martial dalam saingan EPL musim ini, sebelum McGoldrick merapatkan jurang itu pada lewat permainan.

Ia menjadikan skuad kendalian Solskjaer itu sebagai pasukan keempat merekodkan 10 kemenangan berturut-turut di laman lawan dalam liga divisyen utama England dan daripada jumlah itu, mereka melakukan kebangkitan untuk memenangi enam daripadanya musim ini.

Sebaliknya, mereka hanya memenangi satu perlawanan EPL di laman sendiri dan Solskjaer berkata pasukannya perlu menangani perkara itu menjelang pertemuan dengan Leeds United hujung minggu ini.

Pengurus Manchester United itu berkata kepada BBC Sport: "Ia langsung bukan kemenangan yang selesa sehingga penghujungnya. Kami sekali lagi menyukarkan diri sendiri selepas permulaan perlahan tetapi melakukan beberapa perkara yang bijak.

"Apabila mereka mendapatkan gol kedua, kami langsung tidak berasa selesa."

Dia menambah: "Kami perlu lebih tajam di laman sendiri. Perlawanan Ahad ini akan menjadi penting buat kami. Ia perlawanan derby yang besar buat kami. Kami menantikan bertahun-tahun untuk berdepan perlawanan ini."

Henderson, yang melakukan penampilan keduanya dalam EPL dengan mengetepikan David de Gea di tempat duduk penyokong, berdepan igauan ngeri apabila kehilangan bola yang disimpan terlalu lama dan Oliver Burke mencuri bola itu untuk ditolak masuk McGoldrick.

Bagaimanapun, dia menebus kesilapan itu dalam waktu kecederaan apabila mempamerkan tindakan refleks untuk menepis percubaan Lys Mousset untuk menafikan kelab yang menjadi destinasi pinjamannya musim lalu itu daripada meraih mata kedua musim ini.

Mengulas mengenai pemain kebangsaan England itu, Solskjaer berkata: "Dia terlalu selesa dengan bola ketika mereka menjaringkan gol pertama. Kami dapat lihat perkara baik dan perkara buruk daripadanya hari ini kerana dia melakukan aksi menyelamat yang hebat pada penghujung perlawanan."

Kemenangan United itu meletakkan mereka hanya ketiggalan lima mata di belakang pendahulu, Liverpool, dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Sumber: Astro Arena
Foto AP