• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

HAFIZH PERLU BANGKIT MUSIM DEPAN

Legenda pemotoran negara, Wazi Abdul Hamid mengakui pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah harus membuktikan kemampuannya bersama pasukan baru


Back To Sports Updates

Kuala Lumpur: Legenda pemotoran negara, Wazi Abdul Hamid mengakui pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah harus membuktikan kemampuannya bersama pasukan baru selepas aksi kurang konsisten musim ini.

Menurutnya, Hafizh sekarang berada pada peringkat tertinggi dalam saingan motosikal dunia dan perlu membuat keputusan terbaik untuk memilih pasukan baru.

"Saya lebih suka dia memilih pasukan bukan dari Malaysia, ini kerana apa yang pasukan itu tawarkan bukan di atas merit tetapi kemampuan yang ada pada dirinya sendiri," kata Wazi ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar jaguh Cub Prix era pertengahan 90-an dan awal alaf baru itu, Hafizh pelumba negara paling hebat dan berbakat setakat ini walaupun dia masih belum meraih kejuaraan seperti Khairul Idham Pawi.

"Walaupun dia tidak pernah juara seperti Khairul Idham tapi prestasi, gaya tunggangan berada pada kelas terbaik dunia. Bagaimanapun, sukar kita hendak membuat perbandingan musim ini kerana banyak pasukan dan pelumba tidak konsisten.

"Sedangkan situasi di MotoGP sendiri pun kelam-kabut apatah lagi di kelas lain. Bagaimanapun, saya yakin Hafizh akan kembali pada landasan terbaik, ada peningkatan dan melakukan sesuatu musim depan.

"Cuma sekarang ini saya lihat dunia pemotoran seperti tidak tahu apa yang akan berlaku, kita hendak membuat perbandingan secara rambang pun sukar. Saingan MotoGP pun bukan seperti yang kita jangka, dengan pelbagai pasukan ada saja alasan yang diberikan. "Mungkin disebabkan Covid-19 ini banyak pasukan terjejas dari segi struktur latihan, persediaan. Dalam masa sama kita juga mengharapkan orang di luar sana faham sebenarnya banyak perkara jika hendak bercakap mengenai soal pemotoran ini, jentera, pelumba dan pelaburan. "Kita tidak boleh membuat perbandingan cetek," katanya yang pernah muncul juara keseluruhan Cub Prix kategori expert pada 1996.

Semalam, Arena Metro melaporkan Hafizh dijangka akan memaklumkan pasukan baru yang akan disertainya sedikit masa lagi dengan proses perbincangan sudah memasuki fasa akhir. Pengurusnya, Razmin Masli Abdul Razak memaklumkan perbincangan mengenai karier Hafizh untuk tahun depan masih berjalan selepas pasukannya Aspar Team tidak menyambung kontraknya.

Sumber: Harian Metro
oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my