• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

HOSPITAL AL-SHIFA MUSNAH SEPENUHNYA, JENAZAH BERGELIMPANGAN

Orang ramai memeriksa keadaan sekeliling Hospital Al-Shifa yang musnah selepas pengunduran tentera Israel semalam - AFP


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa dan kawasan sekitarnya di barat Bandar Gaza awal semalam, meninggalkan berpuluh-puluh penduduk terbunuh bersama kemusnahan besar.

Laman berita Middle East Monitor melaporkan, askar Rejim Zionis berundur sepenuhnya dari dalam hospital dan kawasan sekitar menuju ke arah selatan kejiranan Tel al-Hawa, barat daya Bandar Gaza.

Menurut saksi, tentera penjajah membakar semua bangunan hospital terbesar di Semenanjung Gaza tersebut, mengakibatkan perkhidmatan terhenti sepenuhnya.

Tambahnya, askar Zionis memusnahkan bangunan pembedahan dan membakar ruang menyambut tetamu serta bangunan kecemasan.

Tentera Israel turut membakar bangunan menempatkan pusat rawatan buah pinggang dan wad bersalin, bilik mayat, wad kanser serta memusnahkan bangunan klinik pesakit luar, tambah saksi.

Ujarnya lagi, mayat bergelimpangan ditemui di dalam hospital dan jalan-jalan sekelilingnya.

Israel turut memusnahkan tanah perkuburan sementara yang didirikan oleh penduduk Palestin di hospital itu dan mengeluarkan jenazah yang telah ditanam serta membiarkan ia berselerak di serata kawasan hospital.

Tentera Zionis menyerbu Hospital Al-Shifa yang menempatkan beribu-ribu pesakit dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal pada 18 Mac lalu dengan alasan ia digunakan oleh Hamas sebagai pusat operasi.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini