Kemenangan Selangor FC ke atas Jeonbuk Hyundai Motors pada aksi Liga Juara-Juara 2 (ACL2) di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan petang ini bakal melengkapkan pesta buat peminat bola sepak tempatan.
Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) cemerlang menewaskan Ulsan Hyundai 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit kelmarin, The Red Giants berpeluang untuk membuktikan kualiti Malaysia dan Korea Selatan kini sudah tidak jauh berbeza.
Perkembangan positif bola sepak negara di pentas Asia dan harapan yang diletakkan oleh peminat tempatan juga menjadikan Selangor kini berdepan dua misi berbeza.
Kemenangan kali ini bakal mengesahkan kualiti yang ada pada Selangor dan membuktikan tiga mata pada pertemuan pertama di Petaling Jaya bulan lalu bukan dicapai secara kebetulan ataupun nasib.
Tiga mata akan mengukuhkan kedudukan Selangor di puncak Kumpulan H ACL2 sekali gus membolehkan pasukan menghampiri peluang layak ke pusingan seterusnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini