KAPIT, 29 Sept: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi keutamaan bagi pembinaan beberapa projek jalan di Bahagian Kapit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata antaranya ialah projek pembinaan jalan menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertama pembinaan jalan itu dijangka bermula tahun hadapan dan beliau telah meminta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyegerakannya.
“Saya minta Alexander (Nanta Linggi) untuk mulakan persiapan (pembinaan) tahun ini, agar kita boleh mula segera.
“Tahun depan kita (sediakan) peruntukan untuk mula fasa satu dan saya percaya selewat-lewatnya akhir tahun depan atau tahun 2026 (pembinaan bakal bermula),” katanya berucap pada majlis ramah mesra pemimpin komuniti masyarakat Kapit di sini, hari ini. - BERNAMA
Back
BILIK BERITA CATS
29 September 2024 | 03:07 PM