WHAT'S NEXT

CATS UJUNG MINGGU

01.00pm - 04.00pm

PANDELELA, DHABITAH DIGUGURKAN DARIPADA RTG

Pandelela dan Dhabitah digugurkan daripada program RTG selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR - Persoalan mengenai kedudukan dua ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam Road to Gold (RTG) akhirnya terjawab apabila mereka digugurkan daripada program elit tersebut.

Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan kedua-dua atlet tersebut disingkirkan daripada program itu selepas mereka gagal melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung Julai depan.

Bagaimanapun, Pandelela dan Dhabitah masih berada di bawah program Podium dan akan menerima semua sokongan selain prestasi mereka selepas ini dipantau jawatankuasa RTG.

“Jawatankuasa RTG memutuskan untuk mengeluarkan penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri daripada program itu (RTG). Pandelela dan Dhabitah sudah melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara.

“Malangnya, kedua-dua mereka tidak berjaya mara ke Sukan Olimpik Paris menerusi dua acara (yang disertai) pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar baru-baru ini yang menjadi acara kelayakan terakhir (Olimpik).

“Kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada program Podium sebagai atlet elit negara. Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet serta persatuan,” jelasnya.

Stuart berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa RTG di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar bermula 2 hingga 18 Februari lalu, Pandelela gagal melayakkan diri ke Olimpik menerusi acara 10 meter (m) platform individu dan seirama wanita manakala Dhabitah dalam acara 10m platform seirama wanita serta 3m papan anjal individu dan seirama wanita.

Setakat ini, RTG terdiri daripada 13 atlet dengan sukan badminton menguasai senarai tersebut seramai sembilan atlet, berbasikal trek (2 atlet), terjun (1 atlet) dan angkat berat (1 atlet).

Tambah Stuart, penyingkiran Pandelela dan Dhabitah menyaksikan alatan latihan yang dibiayai RTG seperti platform latihan gim kering baharu (5m), pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan FINA akan menjadi pelaburan jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan, Bertrand Rhodict Lises yang merupakan satu-satunya penerjun negara layak ke Olimpik Paris dimasukkan dalam program RTG selain disenaraikan untuk program Fast-Track ke arah Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

“MSN memulakan program Fast-Track dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik LA 2028.

“Setakat ini, dua sukan tersenarai dalam Program Fast-Track iaitu terjun dan skuasy. Kriteria untuk berada dalam program ini ialah berada di kedudukan 20 terbaik dunia selain beberapa kriteria lain,” ujarnya.

Selain Bertrand, lima lagi atlet yang disenaraikan dalam program Fast-Track adalah Enrique Harold (terjun) serta empat pemain skuasy, Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aira Azman serta kakaknya, Aifa Azman.

Sumber: Kosmo Online!
Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini