WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

EPL: PENYUDAH TUMPUL KECEWAKAN KLOPP

Liverpool berjaya menguasai perlawanan dan melakukan 34 percubaan, namun sentuhan penyudah gagal untuk membantu mereka meraih kemenangan - AFP


Back To Sports Updates

LIVERPOOL - Di sebalik kekecewaan dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan Manchester United awal pagi semalam, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menganggap penguasaan pasukannya sepanjang perlawanan lebih baik berbanding ketika menewaskan lawan sama 7-0 musim lalu.

The Reds mencipta 34 percubaan berbanding hanya enam mampu dilakukan oleh The Red Devils, namun Klopp dikecewakan oleh sentuhan penyudah tumpul sekali gus terpaksa membenarkan Arsenal kembali menerajui liga.

“Saya tidak ingat bilakah kali terakhir kami mampu menguasai permainan seperti ini, malah aksi kali ini lebih baik berbanding ketika kami menang 7-0.

“Jika kami mampu jaringkan gol, ia akan mengubah dinamik perlawanan dan mereka akan mula ambil risiko untuk bermain secara terbuka. Dalam Liga Perdana Inggeris, jika kamu menentang lawan seperti United yang bertahan, kami pasti berdepan kesukaran.

“Inilah permainan yang saya jangkakan, jika kami bermain seperti ini ia pasti menyukarkan pasukan lawan untuk keluar daripada kawasan mereka sendiri. Cara United bertahan juga cukup baik dan penuh bersemangat,” katanya.

Liverpool kini mengutip 38 mata di tangga kedua, hanya dipisahkan satu mata berbanding Arsenal di kedudukan teratas dan Khamis ini The Reds dijadualkan menentang West Ham United di suku akhir Piala Liga Inggeris.

Situasi sekarang menjadikan saingan bertambah menarik memandangkan Liverpool juga akan menentang The Gunners, Ahad ini.

“Ia adalah tempoh yang sukar, kami akan menentang West Ham (Piala Liga Inggeris) dan kemudiannya akan bertemu dengan Arsenal serta Burnley (EPL). Kami perlu pastikan kami mampu mendapatkan mata maksimum dalam semua perlawanan nanti,” jelasnya.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini