WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

PIALA DUNIA: ARAB SAUDI UMUM CUTI SEBAB TEWASKAN ARGENTINA

Para pemain Arab Saudi meraikan kejayaan menewaskan pasukan gergasi dunia, Argentina 2-1 pada Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail kelmarin. – AFP


Back To Sports Updates

LUSAIL – Tidak hanya men­cipta kejutan terbesar pada Piala Dunia, kejayaan menumpaskan Argentina 2-1 pada aksi pertama Kumpulan C beri makna cukup besar buat warga Arab Saudi.

Rentetan kejayaan menamatkan rekod 36 perlawanan tanpa kalah Argentina itu, kerajaan Arab Saudi segera memberikan penghargaan apabila mengumumkan hari cuti kepada seluruh warganya.

Keputusan itu mendapat pu­jian luar biasa daripada pendu­duk Arab Saudi dan pemerin­tahnya, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menetapkan Rabu (kelmarin) sebagai hari cuti umum.

“Cuti buat semua pekerja di sektor kerajaan, sektor swasta dan semua pelajar di pelbagai pe­ringkat,” menurut ciapan di akaun Twitter Saudi Press Agency.

Dua gol daripada Saleh Al Shehri dan Salem Al Dawsari di babak kedua menafikan jaringan pendahuluan Argentina mene­rusi Lionel Messi dan nyata beri kesan besar kepada penduduk di negara Arab berkenaan.

Tidak hanya memastikan tiga mata penting, kemenangan itu juga menjadikan skuad The Green, pasukan luar Eropah pertama yang berjaya menewaskan Argentina di pentas Piala Dunia selepas Cameroon melakukannya pada edisi 1990.

Arab Saudi tidak pernah melepasi peringkat kumpulan sejak penampilan sulung di Amerika Syarikat pada 1994, namun kejayaan kali ini menjadi langkah hebat buat anak buah Herve Renard sebelum menghadapi Poland dan Mexico pada baki dua lagi perlawanan.

Pujian terhadap pasukan hadir daripada pelbagai peringkat dan pencapaian luar biasa ini dianggap sebagai sejarah baharu kepada bola sepak di negara itu.

“Kami begitu gembira dengan keputusan yang diraih skuad kebangsaan kami. Keyakinan kami terhadap pemain dan pasukan jelas tepat dan kami sudah pun berjaya mencipta sejarah,” kata Pengarah Pemasaran di Kementerian Perumahan Arab Saudi, Ghassan Alwan.

“Ia adalah perlawanan yang luar biasa dan terdapat perubahan. Banyak perubahan dan cita-cita kami akan memacu pasukan capai kejayaan terbaik. Detik se­perti ini menyerlahkan perubahan yang dilakukan dan betapa bangganya kami dengan kejayaan ini,” kata seorang doktor, Adel Al-Akeely.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini