WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

YUNA UBATI RINDU PEMINAT

Yuna mengubat rindu lebih 300 peminat pada persembahan eksklusif di APW Bangsar Entrance


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi tempatan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Yuna mengubat rindu lebih 300 peminat pada persembahan eksklusif di APW Bangsar Entrance, Art Printing Works Sdn Bhd, di sini, sebentar tadi.

Persembahan anjuran Uber dan Pandora itu menyaksikan Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai, mendendangkan 10 lagu.

Penyanyi berusia 31 tahun itu membuka tirai persembahan dengan lagu Falling sebelum beralih kepada Best Love.

Sesekali Yuna mengambil kesempatan berkomunikasi dengan penonton dan meluahkan penghargaannya kepada peminat.

"Saya tak selalu berpeluang mengadakan konsert di sini. Persembahan malam ini juga lebih dekat dengan saya, membuatkan saya rasa lebih istimewa.

"Saya sebenarnya tidak berapa sihat, namun berusaha untuk sihat demi semua. Ini adalah kampung halaman saya. Saya pulang kerana anda semua. Terima kasih kepada Uber, Pandora dan semua yang hadir malam ini," katanya.

Meneruskan persembahan, penyanyi yang terkenal dengan imej berturban itu menyampaikan lagu Lullabies, Light And Camera, Used To Love You, Decorate serta lagu duet popularnya bersama Usher, Crush.

Yuna turut menyampaikan lagu Melayu popularnya iaitu Terukir Di Bintang, Pulang serta Dan Sebenarnya.

Terdahulu, persembahan yang bermula pada jam 8 malam itu dijayakan kumpulan The Peachskin dan Orang Malaya.

Peminat yang menyaksikan persembahan istimewa Yuna itu adalah pengguna Uber, yang melanggan perjalanan ke lokasi persembahan yang dirahsiakan, mulai jam 5 petang hingga 7 malam tadi.

Sebelum ini, persembahan eksklusif satu malam itu dirahsiakan dan hanya diketahui pemandu Uber terbabit.

- Sumber dari Berita Harian