WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

JAJARAN LIMBANG-LAWAS BERMULA HUJUNG TAHUN

Kerja-kerja pembinaan fasa kedua Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan jajaran Limbang-Lawas dijangka bermula hujung tahun ini


Back To Whats Hot

KUCHING - Kerja-kerja pembinaan fasa kedua Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan jajaran Limbang-Lawas dijangka bermula hujung tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kertas cadangan mengenai pembinaan tersebut yang menawarkan beberapa pilihan termasuk sama ada jajaran akan melalui Brunei atau laluan alternatif lain, telah diserahkan kepada jawatankuasa teknikal tertinggi kerajaan .

“… kita harapkan akan ada keputusan pada Oktober nanti dan akhirnya kita akan serahkan kepada rakan kongsi penyerahan projek (PDP) untuk melantik kontraktor bagi melaksanakan pembinaan jajaran kedua dari Limbang ke Lawas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Mengenai fasa pertama lebuh raya, Fadillah berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan perjalanan projek yang kebanyakannya lebih awal daripada dijadualkan.

“… ada satu atau dua di belakang jadual disebabkan permasalahan dari segi tanah yang perlu diselesaikan, tetapi secara keseluruhan projek berjaya dilaksanakan dalam tahap memuaskan,” katanya.

Mengulas isu lain, beliau gembira kerana amalan rumah terbuka kekal mendapat sambutan rakyat pelbagai kaum di Sarawak.

Katanya ini melambangkan Sarawak kekal sebagai sebuah negeri yang bersatu padu dari segi pergaulan masyarakat dan keadaan itu perlu dikekalkan dan diperkukuhkan.

“Ini keunikan dan kekuatan Sarawak yang harus kita kekalkan supaya perpaduan yang kukuh ini dapat gerakkan negeri dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih lestari dan bersatu padu dan akhirnya membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada negeri dan negara,” katanya.

- Sumber dari Bernama