WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

GOUT BOLEH MENJATUHKAN NEGARA? – KHAIRUL NAIM ZAINAL ABIDIN

Gout merupakan penyakit yang menyebabkan sendi menjadi bengkak akibat gangguan metabolisme asid urik


Back To Whats Hot

Ha, itulah dia. Macam-macam penyakit dalam dunia ni Mi. Gout tu! Gout tu boleh menjatuhkan negara Mi,”

Dipetik daripada skrip filem Rock Ooo (2013), arahan Mamat Khalid.

Gout merupakan penyakit yang menyebabkan sendi menjadi bengkak akibat gangguan metabolisme asid urik. Antara faktor-faktor risiko penyakit ini ialah keturunan, pengambilan minuman beralkohol, masalah obesiti dan tekanan darah tinggi.

Penyakit gout yang tidak dikawal boleh menyebabkan serangan gout mendadak (acute attack), pembentukan tofi gout yang berpanjangan (chronic tophaceous gout), batu karang (renal calculi) malah dalam sesetengah kes yang serius, boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Oleh demikian, individu yang mengalami masalah gout bukan sahaja perlu mengambil ubat seperti yang dipreskrib oleh doktor, malah pengubahsuaian gaya hidup terutamanya cara pemakanan juga perlu dilakukan.

Fokus artikel kali ini ialah ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan gout.

Pengurusan Gout Melalui Kaedah Ubat-Ubatan

Terdapat beberapa jenis ubat yang digunakan untuk mengawal penyakit gout. Ubat-ubatan tersebut ialah:

  • Non-steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDs)

NSAIDs merupakan kumpulan ubat-ubatan yang turut dikenali sebagai ubat penahan sakit. Kebanyakan NSAIDs berupaya meredakan kesakitan dan keradangan akibat serangan gout yang mendadak.

Ubat NSAIDs perlu diambil sejurus selepas serangan gout berlaku dan diambil pada dos yang optimum. Contoh NSAIDs seperti diclofenac, indomethacin, naproxen dan ibuprofen.

  • Cyclooxygenase-2 (COX-2) inhibitors

COX-2 inhibitors tergolong dalam kumpulan NSAIDs, akan tetapi COX-2 inhibitors kurang memberikan kesan sampingan terhadap perut. Ubat ini digunakan sebagai alternatif kepada individu yang mempunyai masalah ulser perut atau bagi mereka yang tidak toleran terhadap kesan sampingan NSAIDs jenis lain. Contoh COX-2 inhibitors ialah etoricoxib.

  • Colchicine

Colchicine merupakan sejenis ubat alternatif bagi individu yang tidak boleh mengambil NSAIDs atau COX-2 inhibitors atas kontraindikasi yang tertentu. Walau bagaimanapun, ubat ini mungkin menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti loya, muntah dan cirit-birit. Hal ini menyebabkan kadar toleransi yang rendah terhadap ubat ini terutamanya di kalangan individu warga emas.

Ubat ini tidak boleh diambil serentak dengan ubat cimetidine dengan/atau erythromycin, kerana kedua-dua ubat tersebut boleh menghasilkan kesan interaksi dengan colchicine. Interaksi colchicine dengan cimetidine dan erythromycin mungkin meningkatkan lagi kesan sampingan colchicine.

  • Glukortikoid

Glukortikoid atau nama umumnya steroid, boleh digunakan untuk rawatan gout bagi individu warga emas dan individu yang mempunyai masalah buah pinggang, masalah hati, masalah jantung, ulser perut atau alergik kepada NSAIDs atau COX-2 inhibitors.

Contoh glukokortikoid yang digunakan untuk rawatan ialah methylprednisolone, triamcinolone dan prednisolone. Rawatan menggunakan glukokortikoid melibatkan rawatan untuk jangka masa pendek sahaja.

  • Allopurinol

Allopurinol merupakan sejenis ubat dalam kumpulan xantine oxidase inhibitor.

Pada beberapa minggu pertama selepas individu menggunakan allopurinol, paras asid urik mungkin meningkat dan menyebabkan serangan gout berlaku. Kesan ini hanya sementara dan individu perlu terus mengambil allopurinol. Bagi mengatasi masalah ini, doktor biasanya akan turut mempreskrib NSAIDs atau colchicine untuk meredakan kesakitan akibat serangan gout tersebut.

Individu perlu memberi perhatian terhadap perubahan yang berlaku semasa mengambil allopurinol. Ini kerana allopurinol boleh mengakibatkan kesan alergik. Sekiranya individu mengalami lemah badan atau pun ruam, individu perlu memberitahu doktor secepat mungkin.

Bagi individu yang mengalami kesan ruam yang sederhana akibat allopurinol, doktor akan melakukan penyahpekaan allopurinol (allopurinol desensitization) bagi membantu individu agar badan mereka menjadi toleran terhadap allopurinol, seterusnya membolehkan rawatan diteruskan.

Allopurinol tidak boleh diambil serentak dengan beberapa jenis ubat atas faktor interaksi ubat-ubatan. Ubat-ubatan tersebut seperti ampicillin, cyclophosphamide, azathioprine, mercaptopurine, warfarin dan theophylline.

  • Probenecid

Probenecid merupakan ubat yang membantu penyingkiran asid urik melalui air kencing. Ia merupakan alternatif kepada allopurinol sekiranya allopurinol tidak boleh digunakan atas faktor indikasi tertentu.

Ubat ini tidak boleh diambil oleh individu yang mengalami masalah penghasilan dan penyingkiran asid urik yang berlebihan (jumlah asid urik yang disingkirkan melalui air kencing melebihi 800 mg dalam tempoh 24 jam). Individu yang mengalami urate nephropathy atau nephrolithiasis juga tidak boleh mengambil ubat ini atas faktor risiko pembentukan kristal dan pemendapan asid urik.

Probenecid boleh berinteraksi dengan ubat seperti salicylate, penicillin dan frusemide.

Pentingnya Menuruti Saranan

Individu yang menerima rawatan ubat-ubatan gout perlu menuruti saranan yang digariskan oleh doktor dan ahli farmasi. Hal ini bagi membolehkan gout yang dialami dapat dikawal, seterusnya memperbaiki kualiti hidup individu terbabit.

Pembinaan sebuah negara yang progresif, aman dan tenteram memerlukan rakyat yang sihat dan produktif. Penyakit dan masalah kesihatan yang tidak dikawal di kalangan masyarakat bukan sahaja menimbulkan kegusaran, malah tidak mustahil boleh menjatuhkan negara. Oleh demikian, gaya hidup sihat amat penting diamalkan oleh rakyat dan individu dalam sesebuah negara.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan kemusykilan lanjut berkenaan ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan gout, sila dapatkan nasihat daripada doktor dan ahli farmasi. Maklumat berkenaan ubat-ubatan juga boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Rujukan:

  1. Ministry Of Health Malaysia, Malaysian Society Of Rhemathology & Academy Of Medicine Of Malaysia (2008) Clinical Practice Guidelines Management Of Gout. Retrieved 2016, Apr 16. Available: http://www.acadmed.org.my/index.cfm?&menuid=67

- Sumber dari Malaysian Medical Gazette